Mengharap Cinta atau Perhatian

Assalamualaikum,

Metro hari ini menkhabarkan suatu berita yang sudah sekian lama menghantui ibu bapa yang mempunyai anak-anak gadis terutamanya.

KERAMAT CINTA LOMBOK





Dasawarsa kini, ramai anak-anak gadis kita semacam agak mudah terpikat dan tertawan dengan jejaka-jejaka dari Indonesia. Yang mana ianya seolah-olah menjadi suatu 'trend' (dengan izin) pula. Saya tidak mengatakan bahawa ia menjadi suatu kesalahan, asalkan Islam beres saja dong. Namun, bukankah ia sangat menyedihkan keluarga jika berkahwin tanpa meninggalkan khabar berita.

Bahkan gadis-gadis kita kini bukan sahaja mudah terpikat dengan jejaka-jejaka dari seberang, tetapi juga hero-hero dari Bangladesh. Timbul persoalan di benak fikiran, kenapa agaknya ya? Sedangkan ramai lagi pemuda-pemuda dari Malaysia yang mungkin jauh lebih kacak dan tampan(rasanyalah), tetapi tidak pula dipilih.

Jika kita perhatikan (maafkan saya jika tersalah bicara) kebanyakkan mereka ini terpikat dengan jejaka hero ini selepas diper'ayat'kan. Kebanyakkan gadis-gadis ini yang sebelumnya mungkin kurang diberi perhatian, kasih-sayang akan sangat mudah tertawan setelah berbicara dengan jejaka hero bumi asing ini. Bukan sekadar bicara kosong tanpa makna, tetapi gadis-gadis ini diberikan suntikan semangat, dicurahkan perhatian, disuakan kasih-sayang dalam tiap bait kata-kata. Bukankah manusia itu saling memerlukan kasih-sayang. Apalagi daripada silang jantina.

Maka, demi untuk mengelakkannya, ibu bapa janganlah terlalu mengutamakan kerjaya sehingga mengabaikan anak gadis mereka. Tidak dinafikan bahawa kerjaya itu diusahakan demi anak-anak, tetapi bukan itu sahaja yang didambakan oleh mereka. Mereka lebih mendambakan kasih-sayang dan perhatian. Lihat sahaja Nik Nur Madihah, walaupun ibu bapanya tidak boleh menyediakan suatu keperluan persekolahan yang sempurna, tetapi dia tetap dipupuk dengan kasih-sayang yang akhirnya membuahkan hasil yang tidak dijangkakan.

Berbeza dengan kebanyakan gadis-gadis tadi yang menjadi mangsa keadaan. Apabila mereka kurang kasih-sayang daripada insan yang sepatutnya, dan tiba-tiba muncul jejaka hero yang lagak Afgan dan Salman Khan datang, tentunya mereka amat-amat menghargainya.

Dalam suatu kajian yang dibuat oleh pakar (saya perolehi daripada kelas subjek dakwah) yang menunjukkan bahawa perempuan lebih tertarik dengan sifat keprihatinan dan kasih-sayang lelaki berbanding lelaki yang lebih tertarik kepada fizikal perempuan (dan ia merupakan antara hikmah terhadap aurat perempuan).



Kesimpulannya, curahkanlah perhatian dan kasih-sayang kepada anak-anak ini sebelum mereka mendambakannya daripada mereka-mereka yang lain sama ada jejaka hero asing mahupun tempatan yang 'buaya'. Segalanya bermula dari sebuah keluarga yang saling berkasih-sayang.

Wallahu'alam.