Di mana Sebatan Hudud?

Assalamualaikum,

Sebentar tadi dua orang sahabat saya bertanyakan berkenaan hukuman sebat yang dilaksanakan di Mahkamah Syariah di Malaysia yang tercinta ini. Isu Kartika, sebatan syariah di Malaysia, dan apakah halangan terhadap pelaksanaan hudud di Malaysia. Maka berbekalkan sedikit ilmu dan kefahaman yang tidak seberapa, saya berkongsi sedikit bekalan yang tertanam dalam dada selama 'dok' mengaji syariah undang-undang ni.

Isu pertama adalah berkenaan kes Kartika. Kes ini mula diperbesar-besarkan oleh segolongan pihak kononnya undang-undang syariah bersikap tidak adil dalam menjatuhkan hukuman kerana telah Hakim Syarie iaitu YA Dato' Hj. Abd. Rahman telah menjatuhkan hukuman sebatan terhadap pesalah yang bergender wanita. Mereka cuba membanding-bandingkan undang-undang syariah dengan undang-undang sivil di mana di dalam undang-undang sivil, pesalah wanita tidak boleh dikenakan hukuman sebat berdasarkan Seksyen 289 Akta Prosedur Jenayah di dalam Kanun Keseksaan. Sedangkan di dalam enakmen syariah negeri-negeri (di dalam kes ini, Pahang) hukuman sebat tidak hanya dihadkan kepada pesalah lelaki sahaja kerana tiada peruntukan yang menyatakan sedemikian rupa (sila rujuk mana-mana enakmen tatacara jenayah syariah negeri-negeri). Dan ada beberapa isu lagi yang dibahaskan oleh masyarakat bahkan oleh pihak yang terlibat dalam undang-undang syariah sendiri yang tidak meneliti dahulu peruntukan Enakmen Pentadbiran Ugama Islam & Adat Resam Melayu Pahang 1982 tetapi sengaja buat-buat pandai.





Berkenaan sebatan syariah di Malaysia, adakah ia menepati apa sebagaimana yang telah digariskan oleh undang-undang Islam. Jawapannya ialah kaedah sebatan di dalam peruntukan undang-undang Syariah di Malaysia adalah menepati apa yang telah digariskan Islam. Cuma yang menjadi pertikaiannya ialah dari segi kadar sebatan ke atas kesalahan-kesalahan hudud. Yang lainnya seperti alat sebatan, keadaan pesalah semasa hendak disebat, anggota tubuh yang akan disebat, syarat-syarat penyebat, cara pelaksanaan sebatan dan sebagainya adalah menepati kaedah-kaedah Islam. Perkara ini boleh dirujuk kepada enakmen tatacara jenayah Syariah negeri-negeri jika berkehendakkan kepastian.

Dan isu yang terakhir dalam perbincangan tersebut ialah, apakah yang menjadi halangan terhadap pelaksanaan undang-undang hudud di Malaysia? Kenapa kadar sebatan hanya terhad kepada enam sebatan? Sebelum itu, kita perlu mengetahui bahawa Perlembagaan Persekutuan Malaysia adalah undang-undang tertinggi negara. Maka jika ada mana-mana akta atau enakmen yang bertentangan dengan Perlembagaan, akta atau enakmen tersebut akan tidak terpakai. Dan akta mempunyai kedudukan yang lebih atas daripada enakmen negeri-negeri kerana akta digubal oleh Dewan Rakyat manakala enakmen digubal oleh Dewan Undangan Negeri. Berbalik kepada isu, enakmen jenayah syariah di negeri-negeri hanya memperuntukkan hanya enam sebatan sebagai kadar maksimum hukuman sebat. Ini kerana Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 memperuntukkan bahawa Mahkamah Syariah hanya berkuasa untuk menjatuhkan hukuman sekadar tiga tahun penjara, lima ribu ringgit, dan enam kali sebatan. Peruntukan ini telah menyebabkan Dewan Undangan Negeri hanya mampu memperuntukan kuasa kepada Mahkamah Syariah sekadar apa yang diberikan. Dan selanjutnya pihak Mahkamah Syariah hanya mampu menjatuhkan hukuman sekadar kuasa yang diberikan kepadanya. Kebanyakan sahabat-sahabat saya yang kelihatan terlalu 'bersemangat' akan menimbulkan keraguan yang sepertinya munasabah dengan mengatakan kenapa tidak sahaja pihak-pihak yang menggubal undang-undang tidak menggubal undang-undang mengikut syariat Islam.

Bagi isu ini, saya berpendapat begini. Negara kita mempunyai tiga struktur utama yang menunjangi negara. Pihak yang menggubal undang-undang iaitu ahli Parlimen atau DUN, pihak pemerintah iaitu kerajaan, dan pihak yang melaksanakan undang-undang seperti Mahkamah (saya lupa istilah bagi setiap struktur ini). Secara umumnya undang-undang digubal oleh ahli Parlimen dan DUN bukan pihak mahkamah atau yang berkaitan dengannya. Maka jangan melontarkan kemarahan kepada pihak Mahkamah Syariah jika tidak menjatuhkan hukuman hudud terhadap kesalahan tertentu kerana mereka hanya melaksanakan apa yang telah digubal. Ahli Parlimen dan DUN ini adalah dipilih melalui pilihanraya umum yang diadakan empat tahun sekali. dan mereka dipilih oleh rakyat. Jadi, di sini saya cuba mengatakan bahawa adalah menjadi undang-undang Islam yang Syumul itu dapat dilaksanakan dengan TAHU, FAHAM, dan YAKIN, dan MAHU rakyat terhadap ISLAM itu sendiri.

Bagaimana tu?

Begini... Jika rakyat yang tahu, faham, yakin, dan mahu dengan Islam, maka apabila berlangsungnya pilihanraya umum, maka sudah tentunya mereka akan memilih ahli Parlimen dan DUN yang TAHU, FAHAM, YAKIN, dan MAHU kepada ISLAM. Apabila ahli-ahli yang dipilih ini mahu menggubal undang-undang pula, maka mereka akan merujuk pula kepada ISLAM. Setelah undang-undang ISLAM ini sudah digubal, maka bolehlah Mahkamah-mahkamah menjatuhkan hukuman berdasarkan undang-undang Islam. Dan apabila dijatuhkan hukuman, maka rakyat keseluruhannya yang FAHAM undang-undang Islam akan YAKIN bahawa setiap yang ditetapkan Islam itu mempunyai kebaikan baik untuk diri pesalah mahupun masyarakat amnya.

Kesimpulannya, tanamkan TAHU, FAHAM, YAKIN, dan MAHU kepada ISLAM di dalam diri masing-masing dan rakyat, maka mudahlah nanti undang-undang Islam itu dilaksanakan. Namun tidak dapat dinafikan usaha ini memerlukan pengorbanan banyak pihak bermula dari diri sendiri. Sedang Rasulullah SAW sendiri berdakwah hampir 13 tahun di Makkah sebelum mewujudkan Negara Islam Madinah. Semoga usaha setiap pihak mendapat RAHMAT dan REHDA dari ALLAH swt kerana itulah tujuan utama. Wallualam. =)