TANWIR AL-MASALIK
Oleh : Syeikh Dr. Mustapha Dib Bugho
(Salah seorang masyaikh Syria, Pensyarah Universiti Dimasyq,
dan salah seorang pengarang Fiqh Manhaji)


BAB PUASA

Puasa dari segi bahasa bermaksud menahan daripada sesuatu, sebagaimana firman Allah Taala di dalam Surah Maryam ayat 26 :

   
“Sesungguhnya aku bernazar untuk diam membisu kerana (Allah) Yang Maha Pemurah”

Puasa di dalam ayat di atas membawa maksud menahan diri dari berkata-kata.

Dari istilah syarak pula ia membawa maksud menahan diri daripada kemahuan perut dan kemaluan serta apa-apa yang membangkitkan kemahuan kedua-duanya dan melawan nafsu supaya dapat mentaati Allah Azzawajalla, pada sepanjang siang hari yang disertai dengan niat sebelum fajar (sebelum waktu subuh) atau sewaktu fajar (jika mampu).

Dan puasa dengan membawa makna peringatan iaitu kefardhuan yang telah ditetapkan oleh Allah kepada umat-umat yang terdahulu, dan telah ditetapkan juga sebagai suatu kefardhuan buat umat ini (umat Nabi Muhammad SAW) sehingga hari kiamat. Allah SWT berfirman di dalam Surah al-Baqarah ayat 183 :

             
“Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum daripada kamu, moga-moga kamu beroleh ketaqwaan.”

Puasa merupakan antara asas yang penting daripada asas-asas agama Islam iaitu agama yang diredhai Allah yang diwahyukan buat seluruh alam. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah al-Maidah ayat 3 :

            
“Pada hari ini, telah Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agama untuk kamu.”

Daripada Abdullah Bin Umar ra berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Dibina Islam atas lima perkara, bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, melaksanakan haji, dan berpuasa di bulan Ramadhan.” (Hadis riwayat Bukhari, Kitab Iman, No. 8, dan riwayat Muslim pada kitab Iman, No. 16).

Dibina Islam bermaksud ibadah-ibadah asas di dalam Islam itu ada lima perkara. Ibadah-ibadah ini umpama batu asas bagi sesebuah binaan di mana tidak akan terbangun binaan tersebut tanpa batu asasnya.

Kelebihan puasa dan bulan Ramadhan :

Banyak hadis yang telah diriwayatkan yang menerangkan sama ada tentang kelebihan berpuasa secara umum mahupun kelebihan bulan Ramadhan secara khusus. Hadis-hadis ini jelas menunjukkan bahawa puasa merupakan antara ibadah yang utama dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT. Bahkan pahala dan ganjaran puasa tersangatlah besar berbanding ibadah-ibadah yang lain. Bulan Ramadhan pula merupakan waktu yang sangat utama buat umat Islam berlumba-lumba dalam mengerjakan kebajikan bagi mendapat ganjaran berupa keselamatan daripada api neraka dan memperolehi kedudukan dan tempat yang tinggi disisi Allah di syurga yang disediakan buat hamba-hambaNya yang bertaqwa.

Daripada Abu Hurairah ra, bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Puasa itu perisai, jika salah seorang kamu berpuasa maka janganlah bercakap tentang perkara-perkara keji dan janganlah melakukan kejahilan, jika seseorang ingin memerangi atau menyakitinya, katakanlah : Sesungguhnya aku berpuasa sesungguhnya aku berpuasa. Demi diriku ditanganNya bau mulut orang yang berpuasa adalah lebih baik disisi Allah daripada haruman kasturi, sesungguhnya dia telah meninggalkan nafsunya, makanannya, dan minumannya semata-mata mencari keredhaanKu (firman Allah). Maka puasa itu adalah buatKu dan Akulah yang akan mengganjarinya, setiap kebaikan yang dibuat akan diganjari dengan sepuluh kebajikan sehingga tujuh ratus kali ganda, kecuali puasa, puasa itu adalah buatKu dan Akulah yang akan membalasnya.” (Muwatta’, Kitab Puasa, No. 57 dan 58. Bukhari, Kitab Puasa, No. 1805. Muslim, Kitab Puasa, No. 1151)

Perisai bermaksud perlindungan dan penjagaan daripada melakukan maksiat atau daripada dimasukkan ke dalam neraka.

Melakukan kejahilan iaitu melakukan perkara-perkara yang dilakukan oleh orang-orang jahil dan bodoh dsb.

Bau mulut orang yang berpuasa yang berubah disebabkan tidak makan dan minum.

Maka puasa adalah buatKu, menurut Imam Qurtubi di dalam tafsirnya, bahawa puasa itu mempunyai kedudukan yang khusus di sisi Allah. Ibadah puasa berbeza daripada ibadah-ibadah lain dalam dua perkara :

Pertama : Berpuasa itu akan dapat mencegah diri daripada melayan kehendak nafsu dan syahwat yang tidak ada di dalam ibadah selainnya.

Kedua : Puasa itu merupakan suatu ibadah yang tersembunyi di antara hamba dengan tuhannya yang tidak diketahui hal keadaan puasa seseorang itu melainkanNya.* Maka, Allah mengkhususkan puasa untuk Dia sendiri menilainya. Ia berbeza dengan ibadah-ibadah zahir yang lain kerana ibadah-ibadah zahir yang lain kemungkinan boleh dilakukan untuk menunjuk-nunjuk dan riyak.

*Hanya Allah sahaja yang mengetahui puasa seseorang itu secara keseluruhannya samada kemungkinan seseorang itu seolah-olah puasa di hadapan orang ramai, tetapi sebaliknya. Seperti mandi sambil minum air pada siang hari dibulan Ramadhan ataupun menyorok dalam almari sambil makan pisang goreng atau cekodok dsb.

Dan daripada Sahl Bin Sa’ad ra, daripada Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya di syurga itu terdapat sebuah pintu yang dinamakan al-Rayyan,* akan masuk melaluinya pada hari kiamat oleh orang-orang yang berpuasa, tidak selain mereka, mereka akan ditanya : Di mana orang-orang yang berpuasa? Maka mereka berdiri, tidak masuk melaluinya (iaitu pintu al-Rayyan) selain mereka, setelah mereka masuk maka pintu tersebut akan ditutup, maka tiada siapa boleh masuk melaluinya.” (Riwayat Bukhari, Kitab puasa, No. 1797. Muslim, Kitab Puasa, No. 1152)

*Jika sekarang ini dato’-dato’, datin-datin, menteri-menteri dianggap sebagai VVIP di dalam sesuatu majlis dan seumpamanya, disediakan tempat duduk khas, tempat makan diasingkan daripada tetamu lain dsb. Tetapi di akhirat nanti VVIP ini ialah antaranya orang yang rajin berpuasa sehingga disediakan untuknya pintu khas yang tidak boleh dilalui oleh orang lain.

Al-Rayyan membawa adalah bentuk kata hiperbola atau berlebih-lebihan bagi al-riyyi iaitu lawan bagi dahaga.*

*Perlu rujuk sendiri kamus antonim atau seumpanya bagi mengenalpasti kata lawan bagi dahaga di dalam bahasa melayu a.k.a malaysia.

Daripada Abu Hurairah ra berkata, Rasulullah SAW telah bersabda, “Apabila telah masuk Ramadhan, maka dibukakan pintu-pintu syurga (pada riwayat lain menyatakan pintu-pintu langit), dan ditutup pintu-pintu neraka (pada riwayat lain menyatakan pintu-pintu Jahannam), dan dirantai (dibelenggu) syaitan-syaitan.”

Dan daripada Abu Hurairah ra juga, daripada Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan ketaqwaan, diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu.” (Muwatta’, Kitab Puasa, Hadis: 59. Bukhari, Kitab puasa, No. 1800 dan 1802. Muslim, Kitab Solat Musafir dan qasar, No. 760 dan Kitab Puasa, No. 1079)

DIWAJIBKAN PUASA RAMADHAN KE ATAS SETIAP ORANG ISLAM YANG BALIGH, BERAKAL, MAMPU UNTUK BERPUASA, SERTA SUCI DARIPADA HAID DAN NIFAS.

Puasa bulan Ramadhan hanya dikhususkan dan difardhukan oleh Allah SWT buat umat ini semata-mata yakni umat Nabi Muhammad SAW yang terkandung di dalam bulan ini dengan seribu satu keberkatan dan keistimewaan. Allah SWT berfirman di dalam Surah al-Baqarah ayat 185 :

       ••           
“(Waktu yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, barangsiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu”

Petunjuk bagi sekalian manusia ialah al-Quran yang menjadi petunjuk buat manusia ke jalan yang benar kerana pada zat al-Quran itu sendiri adalah hidayah.

Keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk iaitu keterangan-keterangan yang menjelaskan ke arah jalan yang benar terutamanya dalam membezakan diantara yang halal dan yang haram.

Al-Furqan iaitu yang membezakan diantara yang benar dan yang salah.

Barangsiapa diantara kamu yang menyaksikan bulan bermaksud yang menyaksikan pada waktu tersebut ialah seseorang yang menetap di kawasan tersebut, dan melihat anak bulan ataupun dikira berdasarkan kaedah rukyah.

Daripada Talhah Bin Ubaidillah ra, telah datang seorang a’rabiyyan yang tidak terurus rambutnya kepada Rasulullah SAW lalu berkata, “Wahai Rasulullah, beritahu kepadaku apakah solat yang telah difardhukan Allah ke atasku?” Sabda Rasulullah SAW, “Solat lima waktu, kecuali kamu melakukan sesuatu yang disunatkan.” Dia bertanya, “ Beritahu kepadaku apakah puasa yang telah difardhukan Allah ke atasku?” Sabda Rasulullah SAW, “Puasa di bulan Ramadhan, kecuali kamu melakukan sesuatu yang disunatkan.” Dia bertanya, “Beritahu kepadaku apakah zakat yang telah difardhukan Allah keatasku?” Maka jawab Rasulullah SAW iaitulah zakat yang telah disyariatkan Islam. Dia berkata, “Demi kemulianmu (Rasulullah), aku langsung tidak menunaikan perkara-perkara sunat, (tetapi juga) aku tidak mengurangkan langsung apa yang telah difardhukan Allah ke atasku.” Maka Sabda Rasulullah SAW, “Berjayalah kamu jika kamu berkata benar. Atau, kamu akan dimasukkan ke dalam syurga jika demikian.” (Bukhari, Kitab Puasa, No. 1792. Muslim, Kitab Iman, No. 11)

A’rabiyyan iaitu dikatakan bahawa dia adalah Dhimam Bin Tha’labah ra sepertimana yang telah diriwayatkan oleh Bukhari di dalam Kitab ilmu, No. 63, “Aku utusan daripada kaumku, dan aku Dhimam Bin Tha’labah, saudara Bani Sa’ad Bin Bakr.”

Tidak terurus rambutnya sepertimana dia berada dalam keadaan musafir.

Perkara-perkara sunat iaitu melakukan sesuatu ibadah tambahan selain daripada yang telah diwajibkan.

Berjayalah kamu jika kamu berkata benar bermaksud dia pasti beroleh kebajikan jika dia melakukan segala ibadah yang telah difardhukan ke atasnya dengan tidak mengurangkan sedikitpun daripadanya.

Dan telah difardhukan (disyariatkan) puasa Ramadhan pada bulan Syaaban tahun kedua hijrah. Rasulullah SAW telah sempat berpuasa selama sembilan Ramadhan. (Sirah Ibnu Hisyam, Thobaqot Ibnu Sa’ad, Jami’ fi al-Sirah al-Nabawiyyah karangan Samirah al-Zayid)

MAKA TIDAK DIFARDHUKAN KE ATAS ORANG KAFIR, KANAK-KANAK, ORANG GILA, DAN YANG TIDAK BERKEMAMPUAN UNTUK BERPUASA DISEBABKAN TUA ATAUPUN SAKIT YANG TIADA HARAPAN SEMBUH, UNTUK BERPUASA SAMADA DI BULAN RAMADHAN ATAUPUN PUASA GANTI, TETAPI MEREKA YANG TIDAK BERKEMAMPUAN INI DIWAJIBKAN MEMBAYAR FIDYAH SECUPAK MAKANAN BAGI SETIAP HARI YANG DITINGGALKAN.

Kesemua mereka yang disebutkan di atas tidak diwajibkan berpuasa samada di bulan Ramadhan itu sendiri atau menggantikannya pada kemudian hari kerana mereka bukanlah orang-orang mukallaf pada waktu diwajibkan berpuasa (iaitu bulan Ramadhan).
Adapun orang kafir tidak diwajibkan berpuasa keatasnya kerana antara syarat sah puasa ialah Islam, bahkan ia merupakan syarat sah bagi semua amalan.

Daripada Ibnu Abbas ra, sesungguhnya Rasulullah SAW telah mengutuskan Muaz ra ke Yaman, sabda Rasulullah SAW, “Serulah mereka supaya bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya aku utusan Allah, maka jika mereka menerimanya ajarkanlah mereka bahawa sesungguhnya Allah telah memfardhukan ke atas mereka solat lima waktu sehari semalam, maka jika mereka menerimanya ajarkanlah kepada mereka bahawa sesungguhnya Allah telah memfardhukan sedekah (yakni zakat) ke atas harta mereka yang diambil dari kalangan orang-orang kaya dan dibahagikan kepada orang-orang yang fakir.” (Bukhari, Kitab zakat, No. 1331. Muslim, Kitab Iman, No. 19)

Hadis di atas menjadi hujah bahawa orang kafir tidak difardhukan dengan sesuatu ibadah melainkan setelah mereka memeluk Islam.

Adapun kanak-kanak, jika dia seorang yang belum mumayyiz (iaitu tidak dapat membezakan diantara perkara yang baik dan buruk)* maka tidak sah puasanya kerana tiada kesedaran dan pemahaman pada pemikirannya. Jika dia telah mumayyiz, sah puasanya tetapi belum lagi diwajibkan puasa ke atasnya kerana belum menepati syarat taklif iaitu baligh.**

*Sebagai contoh jika kanak-kanak tersebut belum dapat membezakan antara najis dengan aiskrim coklat dsb, maka dia belum lagi dikira mumayyiz. Kebiasaanya kanak-kanak sudah mencapai tahap mumayyiz pada umur tujuh tahun.

** Iaitu samada telah mimpi basah sahaja atau mimpi dan keluar air mani bagi lelaki, atau keluar darah haid bagi perempuan, atau jika tidak melalui salah satu daripadanya maka baligh dikira berdasarkan cukup umur. Iaitu 15 tahun qamariyyah atau hijrah bagi lelaki dan 9 tahun qamariyyah atau hijrah bagi perempuan.

Adapun orang gila, juga tidak sah puasanya kerana tiada kesedaran dan pemahaman pada pemikirannya. Dan tidak diwajibkan ke atasnya berpuasa kerana tidak menepati syarat taklif iaitu berakal.

Daripada Ali ra, daripada Nabi SAW bersabda, “Diangkat pena dalam tiga perkara, daripada seseorang yang tidur sehinggalah dia sedar dari tidurnya, daripada kanak-kanak sehinggalah dia bermimpi, daripada seorang yang gila sehinggalah dia berakal.”

Telah diriwayatkan hadis yang sama daripada ‘Aisyah ra. (Abu Daud, Kitab hudud, No. 4398 dan 4403. Tirmizi, Kitab Hudud, No. 1423. Nasai, Kitab Talak, No. 3432. Ibnu Majah, Kitab Talak, No. 2041 dan 2042. Musnad Ahmad : 1/116) Terdapat perbezaan pada
sebahagian perkataan pada setiap riwayat.

Diangkat pena bermaksud tidak diambil kira perbuatannya.

Bermimpi iaitu telah baligh (cukup umur).

Berakal iaitu dia sudah sedar (samada daripada gila atau selainnya).

Adapun orang yang tidak berkemampuan untuk berpuasa kerana mempunyai masalah yang kritikal (seperti sakit tua atau sakit yang tidak mempunyai harapan untuk sembuh) maka tidak diwajibkan berpuasa ke atasnya. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah al-Haj ayat 78 :

       
“Dan Allah tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dalam perkara agama”

Jika dia tetap berpuasa, sah puasanya kerana ada padanya syarat-syarat taklif iaitu Islam, berakal, baligh, dan tidak ada padanya halangan-halangan untuk berpuasa seperti haid, nifas, dan kafir. Tetapi jika dia tidak mampu berpuasa samada pada bulan Ramadhan ataupun tidak mampu menggantikannya pada waktu lain, wajib ke atasnya menggantikan puasanya dengan membayar fidyah.

Firman Allah SWT di dalam Surah al-Baqarah ayat 184 :

      
“Wajib atas orang-orang yang tidak mampu untuk berpuasa (kerana tua, sakit, dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan kepada orang miskin.”

Berkata Ibnu Abbas ra bahawa ayat ini tidak dimansukhkan* dan ia digunapakai untuk orang-orang yang tua yang tidak mampu untuk berpuasa. Maka wajib ke atas mereka memberi makan orang miskin untuk setiap hari bagi puasa yang ditinggalkan.

*Terdapat sahabat yang menyatakan bahawa ayat ini telah dimansukhkan hukumnya. Ibnu Abbas menyatakan bahawa hukum membayar fidyah hanya dimasukhkan kepada orang lain selain orang yang tidak mampu untuk berpuasa samada pada bulan Ramadhan atau menggantikannya. Juga untuk wanita hamil yang bimbangkan kandungannya dan wanita yang menyusu yang bimbangkan anaknya, maka wanita-wanita ini wajib juga membayar fidyah serta menggantikan puasa bagi setiap hari yang ditinggalkan. Ia diistilahkan sebagai mansukh juz’i. Wallahu’lam.

Dan daripada Ibnu Abbas ra berkata , “Apabila seorang yang telah tua tidak mampu untuk dia berpuasa, maka wajib keatasnya memberi makan (kepada fakir miskin) secupak makanan bagi setiap hari yang ditinggalkan.”

Dan daripada Abu Hurairah ra berkata, “Barangsiapa yang telah sampai umur tua, yang tidak mampu untuk dia berpuasa bulan Ramadhan, diwajibkan ke atasnya bagi setiap hari secupak gandum*.” (Baihaqi, Kitab Puasa, 4/271).

*Menurut Syeikh Bugho, kadar fidyah yang perlu dibayar adalah sebanyak harga sehidangan makanan yang dimakan oleh kebiasaan orang. Sebagai contoh, jika kebiasaan seseorang itu makan, hidangannya adalah nasi, kari ikan, kailan ikan masin, dan sirap bandung, maka kadar fidyah yang perlu dibayar adalah sebanyak kadar hidangan tersebut. Tapi kalau tak silap di Malaysia dah ditentukan kadar fidyah, maka ikut ja kadar yang ditetapkan tu.

DIWAJIBKAN KE ATAS ORANG YANG SAKIT, MUSAFIR, MURTAD, HAID, DAN NIFAS SUPAYA MENGGANTIKAN PUASA MEREKA. JIKA ORANG SAKIT DAN MUSAFIR MASIH JUGA INGIN BERPUASA MAKA SAH PUASA MEREKA. TETAPI TIDAK SAH PUASA ORANG MURTAD, ATAU WANITA YANG DALAM KEADAAN HAID DAN NIFAS.

Iaitu tidak diwajibkan mereka berpuasa pada waktunya (bulan Ramadhan) disebabkan keuzuran (syarak) yang ada pada mereka samada disebabkan keuzuran yang disebabkan rukhsah (keringanan disebabkan sakit dsb), ataupun telah hilang syarat atau kelayakan sebagai mukallaf (contohnya orang yang murtad), ataupun terdapat halangan-halangan syarak (iaitu haid dan nifas).
Adapun orang yang sakit dan musafir tidak diwajibkan berpuasa kerana diberikan rukhsah ke atas mereka. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 185 :
          
“Dan sesiapa yang sakit atau sedang bermusafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.”
Maksud orang yang sakit di dalam ayat ini ialah orang sakit yang ada harapan untuk sembuh, dan musafir bermaksud orang yang dalam perjalanan yang diharuskan syarak.*
*Musafir ini adalah orang yang dalam perjalanan yang melebihi 2 marhalah atau lebih kurang 90 km dengan suatu sebab yang diharuskan. Maka tidak dikatakan musafir jika sekadar bertolak dari rumah di Kepala Batas Pulau Pinang ke kampung di Merbok Kedah yang jaraknya sekadar lebih kurang 30 km. Dan tidak juga dikira musafir walaupun perjalanan melebihi 90 km tetapi atas tujuan yang tidak diharuskan syarak seperti hendak menyertai ujibakat rajalawak dan seumpamanya.
Adapun orang murtad maka tidak diwajibkan berpuasa ke atasnya disebabkan telah hilang daripadanya syarat sah puasa iaitu Islam. Dan jika dia kembali semula kepada Islam, wajib ke atasnya menggantikan puasanya semula (selama waktu murtadnya)*, dan pemerintah hendaklah menjatuhkan hukuman ke atasnya dan mendisiplinkannya (dengan cara hidup Islam).
*Sebagai contoh, Mamat asalnya Islam kemudian murtad dari Islam. Setelah 5 tahun Mamat kembali semula kepada Islam. Maka wajib ke atas Mamat menggantikan puasa bulan Ramadhan selama 5 tahun tersebut iaitu tempoh Mamat murtad. Samada dalam tempoh itu dia berpuasa ataupun tidak kerana tidak sah puasa orang bukan Islam a.k.a kafir.
Adapun wanita yang dalam keadaan haid dan nifas, bukan sahaja tidak diwajibkan berpuasa bahkan tidak dibenarkan berpuasa disebabkan terdapat halangan syarak iaitu haid ataupun nifas. Jika mereka menahan diri daripada makan, minum dsb disertai dengan niat berpuasa maka haram hukumnya (berdosa).
Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW berkaitan wanita, Rasulullah SAW telah ditanya tentang apakah yang dimaksudkan dengan kurangnya agama pada wanita, maka sabda Rasulullah SAW, “Bukankah apabila seseorang wanita didatangi haid dia tidak mengerjakan solat dan tidak berpuasa.” Pada riwayat lain, “Dia (iaitu wanita yang didatangi haid) melalui malam-malamnya tanpa solat, dan berbuka pada siang Ramadhan.” (Bukhari, Kitab Puasa, No. 185. Muslim, Kitab Iman, No. 79 dan 80).
Maka para fuqaha’ telah menqiyaskan bahawa wanita yang dalam keadaan nifas juga tidak diwajibkan berpuasa sebagaimana wanita yang didatangi haid.
Dan dalil yang menunjukkan bahawa diwajibkan supaya menggantikan puasa kepada kedua-dua wanita yang didatangi haid atau nifas adalah apa yang telah didatangkan daripada Mu’azah, dia berkata, “Aku telah bertanya kepada Sayyidatina ‘Aisyah ra, “Apakah benar wanita haid telah diperintahkan untuk menggantikan puasa dan tidak perlu menggantikan solatnya?” Jawab ‘Aisyah, “Itulah sebagaimana yang telah diperintahkan ke atas kita. Diperintahkan ke atas kita supaya menggantikan puasa dan tidak diperintahkan supaya menggantikan solat.” (Bukhari, Kitab Haid, N0. 315. Muslim, Kitab Haid, No. 335).
Sebagaimana yang telah kamu ketahui, wanita yang dalam keadaan nifas sama hukumnya dengan wanita yang dalam keadaan haid.
JIKA SESEORANG ITU MASUK ISLAM, ATAU KEMBALI BERAKAL, ATAU BALIGH TATKALA DIA TIDAK BERPUASA PADA SIANG HARI, DISUNATKAN KE ATASNYA MENAHAN DIRI (DARIPADA PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA) DAN DISUNATKAN MENGGANTIKAN PUASANYA, DAN TIDAK DIWAJIBKAN MENGGANTIKANNYA. DAN JIKA SESEORANG KANAK-KANAK ITU BALIGH DALAM KEADAAN DIA SEDANG BERPUASA, WAJIB KE ATASNYA MENERUSKAN PUASA TERSEBUT, DAN DISUNATKAN MENGGANTIKAN PUASA BAGI HARI TERSEBUT.
Yang dimaksudkan dengan seseorang yang masuk Islam ialah seseorang yang kafir kemudiannya dia memeluk Islam, dan bukannya seseorang yang murtad kemudian kembali kepada Islam.
Maka kesemua golongan yang disebutkan iaitu orang kafir yang baru memeluk Islam, orang yang baru sedar dari gilanya, kanak-kanak yang baru baligh pada siang hari di bulan Ramadhan dan mereka tidak berpuasa pada awal hari, disunatkan ke atas mereka ini menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa sebagai menghormati hari tersebut (iaitu dengan menyempurnakan baki hari tersebut dengan berpuasa) dan sebagai mengeluarkan diri daripada perkara khilaf yang mengatakan wajib berpuasa ke atas mereka. Dan disunatkan ke atas mereka untuk menggantikan puasa hari tersebut.
Bagaimanapun mereka tidak diwajibkan berpuasa dan menggantikan puasa pada hari tersebut kerana mereka asalnya tidak berpuasa sebelumnya disebabkan oleh keuzuran syarak (seperti belum Islam, belum baligh, dan tidak berakal) sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini. Dan kerana hukum puasa hanya diwajibkan kepada mereka pada waktu yang tidak sah untuk mereka berniat (iaitu sesudah masuknya waktu Subuh).*
*Sebagai contoh, Mamat seorang kanak-kanak yang belum baligh. Dan dia tidak berpuasa pada suatu hari di bulan Ramadhan. Tiba-tiba dia mendapati terdapat kesan air mani pada seluarnya setelah bangun dari tidur tengahari. Maka dia sekadar disunatkan selepas itu untuk menahan diri dari makan, minum, dan dari perkara lainnya yang membatalkan puasa. Dia juga disunatkan menggantikan puasa hari tersebut kemudiannya.
Manakala bagi kanak-kanak yang asalnya sedang berpuasa kemudian datangnya baligh (samada mimpi dsb) maka wajib ke atasnya meneruskan puasanya kerana dia telah menjadi seorang yang diwajibkan berpuasa tatkala dia melakukan puasa tersebut. Sepertimana seseorang yang pada mulanya sedang berpuasa sunat kemudian dia bernazar untuk menyempurnakan puasanya, maka wajib ke atasnya menyempurnakannya. Disunatkan juga (kepada kanak-kanak yang baligh tersebut) menggantikan puasanya kerana puasanya itu dikira sebagai puasa sunat kerana dia berniat puasa sedangkan pada waktu tersebut belum difardhukan ke atasnya lagi.
DISUNATKAN KE ATAS WANITA YANG TERHENTI HAIDNYA (PADA SIANG HARI DI BULAN RAMADHAN) BERPUASA, DAN WAJIB KE ATASNYA MENGGANTIKAN PUASA HARI TERSEBUT. BEGITU JUGA SEORANG MUSAFIR YANG PULANG KE TEMPATNYA, ATAU PESAKIT YANG SEMBUH DARI SAKITNYA, SEDANGKAN MEREKA TIDAK BERPUASA, MAKA DISUNATKAN MEREKA BERPUASA DAN DIWAJIBKAN MENGGANTIKAN PUASA HARI TERSEBUT. ATAU JIKA MEREKA PADA ASALNYA BERPUASA PADA HARI TERSEBUT, MAKA DIWAJIBKAN KE ATAS MEREKA MENYEMPURNAKAN PUASA TERSEBUT.
Disunatkan bagi wanita yang terhenti haidnya untuk menyempurnakan puasa hari tersebut sebagai menghormati waktu, dan tidak diwajibkan kerana terdapat keuzuran (halangan) untuk mereka berpuasa pada awal hari tersebut. Bagaimanapun diwajibkan bagi mereka menggantikannya. Sama juga hukumnya kepada wanita yang terhenti daripada nifas.
Hukum bagi seorang musafir yang pulang ke tempat asalnya, atau pesakit yang sembuh dari sakitnya, sedangkan mereka tidak berpuasa, sama hukumnya dengan wanita yang terhenti daripada haid dan nifas kerana terdapat keuzuran (rukhsah atau keringanan) untuk mereka berpuasa pada awal hari tersebut. Juga diwajibkan bagi mereka menggantikan puasa hari tersebut.
Bagi musafir yang sampai ke tempat asalnya dan pesakit yang sembuh dari sakitnya dan memang sedang berpuasa dari awal hari tersebut, wajib ke atas mereka meneruskan puasa tersebut. Ini kerana pada asalnya mereka memang diwajibkan berpuasa (kerana cukup syarat wajib puasa) tetapi diharuskan berbuka kerana adanya rukhsah. Tetapi mereka tidak mengambil rukhsah tersebut. Maka setelah sampai ke tempat asal atau baik dari sakit, kedua-duanya telah hilang rukhsah yang diberikan. Terdapat kaedah fiqh yang menyatakan “Apa yang diharuskan semasa uzur adalah terbatal dengan hilangnya keuzuran tersebut.” Oleh itu, wajib mereka menyempurnakan puasa tersebut dan tidak perlu menggantikannya kerana puasa tersebut sah.
KALAU JELAS PADA HARI SYAK ITU ADALAH BULAN RAMADHAN, WAJIB KE ATASNYA MENYEMPURNAKAN PUASA BAGI BAKI HARI TERSEBUT DAN WAJIB DIGANTIKAN SEMULA.
Iaitu jika jelas pada siang hari syak iaitu 30 Syaaban bahawa hari tersebut sebenarnya bulan Ramadhan berdasarkan petunjuk anak bulan, samada masyarakat bercakap tentang adanya anak bulan tersebut atau tidak pada malam sebelumnya.
Maka wajib ke atasnya berpuasa kerana sudah jelas bahawa hari tersebut sudah termasuk dalam bulan Ramadhan dan wajib ke atasnya menggantikan puasa hari tersebut. Tetapi dia tidak berdosa jika sudah terlajak makan dsb pada mulanya kerana adanya keuzuran syarak iaitu jahil tentang sudah masuknya bulan Ramadhan.
HENDAKLAH DIPERINTAHKAN KANAK-KANAK YANG BERUMUR TUJUH TAHUN SUPAYA BERPUASA DAN DIPUKUL PADA UMUR SEPULUH TAHUN JIKA ENGGAN BERPUASA.
Perkara ini diqiyaskan daripada hukum solat (iaitu diperintahkan melakukan samada solat atau puasa apabila berumur tujuh tahun, dan dipukul apabila sudah berumur sepuluh tahun tetapi enggan). Ini kerana kedua-dua ibadah termasuk di dalam kategori ibadah badaniyyah. Maka hendaklah diperintahkan kanak-kanak tersebut berpuasa semenjak berumur tujuh tahun supaya dia akan terbiasa dengannya, dan wajib ke atas penjaga memukul* kanak-kanak tersebut dengan tujuan untuk mendidik dan memberi pengajaran jika dia telah berumur sepuluh tahun tetapi masih enggan berpuasa sedangkan dia mampu.
*Pukul adalah merupakan cara terakhir apabila kanak-kanak tersebut berumur sepuluh tahun dan masih enggan berpuasa. Sebelum itu, hendaklah diperintahkan mereka untuk berpuasa semenjak berumur tujuh tahun, disamping sentiasa mengingatkan dan mendorong mereka dengan cara yang pelbagai dan berhikmah supaya mereka dapat berpuasa sebaik-baiknya. Antaranya mungkin dengan memberikan sedikit ganjaran jika sempurna puasa sebulan di bulan Ramadhan dan sebagainya. Jika masih berdegil, maka hendaklah sentiasa pula diberi amaran kepada kanak-kanak tersebut. Maka setelah berumur sepuluh tahun dan masih berdegil barulah boleh dipukul. Dan ditegaskan sekali lagi bahawa pukul merupakan cara terakhir, dan pukulan tersebut adalah untuk mendidik bukannya atas tujuan melepaskan marah. Terdapat kaedah-kaedah pukulan di dalam Islam bagi tujuan mendidik, antaranya pukulan tidak boleh dikenakan pada bahagian kepada, kemaluan dan sebagainya.
Daripada Abdullah Bin ‘Amru Bin al-‘As ra telah berkata, sabda Rasulullah SAW, “Perintahkanlah anak-anak kamu supaya menunaikan solat apabila mereka berumur tujuh tahun, dan pukullah mereka apabila mereka berumur sepuluh tahun, dan pisahkanlah tempat tidur di antara mereka.” (Abu Daud, Kitab Solat, No. 495).
DIHARUSKAN BERBUKA BAGI SESIAPA YANG JIKA DIA BERPUASA AKAN DITAKUTI MEMBAWA KEBINASAAN PADA DIRI SENDIRI ATAU MENYEBABKAN KESAKITAN. DAN DIHARUSKAN BERBUKA JIKA TIBA-TIBA DATANG SAKIT ATAU KEBINASAAN PADA SIANG HARI PUASA YANG MENYEBABKAN KEPAYAHAN UNTUK MENERUSKAN PUASA.
Iaitu diharuskan untuk berbuka pada ketika datangnya sakit atau kebinasaan tersebut. Dan tidak diharuskan (tidak dibenarkan) untuk berbuka sejak awal hari kerana sakit atau kebinasaan tersebut hanya kemungkinan sahaja.
DIHARUSKAN BERBUKA BAGI ORANG YANG DALAM PERJALANAN QASAR* YANG BERTOLAK SEBELUM FAJAR (SUBUH), DAN TELAH DISERTAI DENGAN NIAT PADA MALAMNYA. MAKA JIKA BERTOLAK SELEPAS FAJAR MAKA TIDAK DIHARUSKAN BERBUKA. BERBUKA BAGI ORANG YANG MUSAFIR ADALAH LEBIH AFDAL (UTAMA) JIKA PUASA AKAN MEMUDARATKANNYA, DAN JIKA TIDAK MAKA PUASA ADALAH LEBIH AFDAL BAGINYA.
*yang melebihi 2 marhalah atau lebih kurang 90 km
Iaitu seseorang yang telah niat untuk berpuasa pada malam harinya, kemudian dia bertolak untuk bermusafir sebelum Fajar maka diharuskan baginya untuk berbuka. Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 185 :
          
“Dan sesiapa yang sakit atau sedang bermusafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.”
Daripada Ibnu Abbas ra, bahawa Rasulullah SAW telah keluar ke Makkah pada bulan Ramadhan sedangkan baginda berpuasa. Apabila sampai di al-Kudaid, baginda SAW berbuka maka yang lainnya turut berbuka. (Bukhari, Kitab Puasa, No. 1842. Muslim, Kitab Puasa, No. 1113)
Al-kudaid adalah nama bagi suatu tempat yang terdapat air di situ yang berdekatan dengan Mekah.
Bagaimanapun, bagi mereka yang bertolak selepas Fajar, maka tidak diharuskan berbuka (iaitu diwajibkan berpuasa). Kerana mereka telah berada dalam keadaan yang mewajibkan mereka untuk berpuasa sebelum wujudnya rukhsah untuk mereka.*
*Telah cukup syarat wajib puasa iaitu telah terbit fajar dan sempurna ahliyyah (Islam, baligh, akal, dan suci daripada haid dan nifas) sedangkan mereka belum keluar untuk musafir yang mengharuskan untuk mereka berbuka. Terdapat beberapa pandangan di dalam masalah ini.
Adapun dalil yang menyatakan bahawa adalah lebih afdal berbuka bagi orang yang musafir yang jika dia berpuasa akan membawa kemudaratan ialah hadis daripada Jabir Bin Abdillah ra telah berkata, bahawa sedang Rasulullah SAW dalam perjalanan, baginda ternampak suatu kaum yang bersesak-sesak dan seorang lelaki sedang menumpang teduh di situ. Sabda Rasulullah SAW, “Apa ini?” Jawab lelaki tersebut, “Aku berpuasa.” Maka sabda baginda SAW, “ Bukanlah menjadi suatu kebaikan untuk berpuasa dalam keadaan bermusafir.” (Bukhari, Kitab Puasa, No. 1844. Muslim, Kitab Puasa, No. 1115).
Kaum yang bersesak-sesak iaitu mereka bersempit-sempit dalam suatu kawasan.
Seorang lelaki iaitu dikatakan dia ialah Abu Israil al-‘Amiri.
Suatu kebaikan bermaksud ketaatan, ibadah, ihsan, dan kebajikan.
Berpuasa dalam keadaan bermusafir iaitu apabila sampai suatu tahap yang sangat menyusahkan dan menyebabkan mudarat untuknya terus berpuasa.
Adapun jika berpuasa itu tidak memudaratkan bagi orang yang sedang bermusafir, maka adalah lebih afdal untuknya berpuasa. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 184 :
        
“Dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.”
Dan berdasarkan hadis daripada Abdullah Bin Abi Aufa ra berkata, tatkala kami bermusafir bersama Rasulullah SAW, maka sabda Rasulullah SAW kepada seorang lelaki, “Turunlah (yakni dari kenderaan) dan sediakan air untukku.” Lelaki itu berkata, “Wahai Rasulullah (SAW), matahari? (bermakna hari masih siang) Sabda Rasulullah SAW, “Turunlah dan sediakan air untukku.” Kata lelaki itu, “Wahai Rasulullah (SAW), matahari? Sabda Rasulullah SAW, “Turunlah dan sediakan air untukku.” Maka lelaki itu pun turun lalu menyediakan minuman, dan Rasulullah SAW meminumnya. Kemudian Rasulullah SAW menunjukkan dengan tangannya di situ, kemudian bersabda, “Apabila malam telah sampai di situ maka telah berbukalah orang yang berpuasa.”*
*Rasulullah ingin mengisyaratkan bahawa diharuskan berbuka untuk orang yang bermusafir, manakala bagi orang yang bermukim hanya berbuka apabila terbenamnya matahari.
Dan daripada ‘Aisyah ra isteri Nabi SAW, sesungguhnya Hamzah Bin ‘Amru al-Aslami telah berkata kepada Nabi SAW, “Adakah aku boleh berpuasa ketika dalam keadaan bermusafir?” Dan dia merupakan seorang yang sentiasa berpuasa, jawab Nabi SAW, “Jika kamu mahu berpuasa, puasalah, dan jika kamu mahu berbuka, berbukalah.”*
*Hamzah Bin ‘Amru ra merupakan seorang sahabat yang rajin berpuasa. Jadi dia ingin mengetahui samada adakah boleh untuk dia meneruskan puasanya dalam keadaan musafir. Hadis ini menunjukkan bahawa harus bagi orang musafir untuk berpuasa jika tidak memberatkannya dan juga diharuskan berbuka. Wallahua’lam.
Dan daripada Anas Bin Malik ra berkata, tatkala kami bermusafir bersama Rasulullah, maka orang yang berpuasa tidak mencela (menyalahkan) orang yang berbuka, dan orang yang berbuka tidak mencela orang yang berpuasa. (Bukhari, Kitab Puasa, No. 1839, 1841, 1845. Muslim, Kitab Puasa, No. 1101, 1121, 1118)
DAN DIHARUSKAN BERBUKA BAGI WANITA YANG SEDANG MENYUSU ATAU WANITA YANG SEDANG HAMIL SAMADA BIMBANG AKAN KESIHATAN DIRI ATAU ANAKNYA DAN MEREKA WAJIB MENGGANTIKAN PUASA TERSEBUT. TETAPI DIWAJIBKAN JUGA MEMBAYAR FIDYAH DISEBABKAN BIMBANG AKAN KESIHATAN ANAKNYA IAITU BAGI SETIAP HARI SECUPAK.
Dalil diharuskan berbuka bagi wanita yang menyusukan anak atau wanita yang sedang hamil adalah antaranya hadis yang diriwayatkan Anas Bin Malik, daripada Bani Ka’ab ra, bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah Tabaraka Wata’ala telah meletakkan bagi orang yang bermusafir puasa dan separuh solat, dan bagi wanita hamil dan wanita yang menyusu puasa.” (Diriwayatkan Ahmad dalam Musnadnya, 5/29. Abu Daud, Kitab Puasa, No. 2408. Tirmizi, Kitab Puasa, No. 715, berkata Imam Tirmizi sebagai hadis hasan. Nasai, Kitab Puasa, No. 2275 dan 2278. Ibnu Majah, Kitab Puasa, 1667)
Meletakkan bagi bermaksud Allah telah memberi kemudahan bagi orang musafir untuk mengqasarkan solatnya dan berbuka puasa dengan digantikan pada hari yang lain (dan untuk wanita hamil dan menyusukan anak berbuka puasa juga dengan digantikan pada hari yang lain).
Separuh solat iaitu dikurangkan daripada empat rakaat kepada dua rakaat.
Adapun yang berbuka puasa disebabkan bimbang akan kesihatan anaknya sahaja atau bimbang akan kesihatan anaknya dan dirinya sekali maka diwajibkan menggantikan puasa beserta membayar fidyah iaitu secupak makanan. Dan secupak bersamaan lebih kurang 600 gram.*
*Sila lihat penjelasan ringkas sebelum ini berkenaan fidyah.
Dalil wajib memberi makan sebagai fidyah bagi wanita hamil atau yang menyusukan anak yang mereka ini berbuka kerana bimbang akan kesihatan anaknya adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Daud (di dalam kitab Puasa, No. 2317, 2318) Bahawa Ibnu Abbas ra telah menafsirkan firman Allah SWT :
      
“Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.”
[Surah al-Baqarah ayat 184]
Kata Ibnu Abbas, “Aku menetapkan (bahawa ayat ini terpakai) buat wanita yang hamil dan yang sedang menyusukan anak.” Dalam riwayat lain iaitu untuk wanita yang hamil dan yang sedang mengandung yang bimbang akan kesihatan dirinya atau anaknya, maka diharuskan berbuka dan membayar fidyah.*
*Konklusinya, wanita hamil atau menyusu hanya perlu bayar fidyah jika bimbangkan keselamatan anak yang dikandungkan atau disusukannya.
Wallahualam.

Mohon keampunan dan kemaafan jika ada kesilapan di mana-mana bahagian atau ayat yang berbelit-belit. Moga beroleh manfaat daripada tulisan ini.
Diterjemah oleh:
Muhammad Aiman Bin Nasir
Hayyu Solahiah, Dimasyq, Syria

Hebatnya bandingan Allah..

"Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya), iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka; dan kalau orang-orang kafir pula maka mereka akan berkata: "Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?" (Jawabnya): Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan banyak orang mendapat pertunjuk dengan sebabnya dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik"
(Surah al-Baqarah ayat 26)

Innalillahiwaninnailaihiraji'un..
Kembali sudah pelawak dan pengacara popular Din Beramboi atau nama sebenarnya Mior Ahmad Fuad Mior Badri telah meninggal dunia di Hospital Selayang, lewat malam tadis.
Menurut sumber, Allahyarham meninggal dunia akibat demam denggi berdarah yang menyebabkan beberapa organ badannya gagal berfungsi. Sesungguhnya setiap yang bernyawa pasti akan mati.

Melihat kepada ayat al-Quran di atas, ia diturunkan selepas turunnya ayat-ayat dari surah al-Baqarah ayat 17, 19 dimana Allah telah memberi dua perumpamaan di dalam ayat tersebut. Lantas kaum munafik sengaja menimbulkan ketegangan dengan mengatakan bagaimana Allah yang begitu agung memakai perumpamaan-perumpamaan tersebut. Maka, untuk menjawab menempelak dan menjawab mereka, Allah menurunkan ayat 26 surah al-Baqarah ini yang menyatakan Allah bahkan tidak malu untuk membuat perumpamaan dengan seekor nyamuk sekali.

Demam denggi yang kebanyakkannya adalah berpunca dari nyamuk. Sedangkan nyamuk adalah seekor serangga kecil yang hidup disekeliling kita, bersama kita, dirumah-rumah kita. Berbeza dengan harimau atau singa, jika haiwan ini datang walaupun seekor pasti kecoh satu negara bahawa kawasan tersebut dihantui harimau atau singa. Tetapi persoalannya, berapa ramaikah menderita kerana harimau atau singa berbanding nyamuk? Berapa ramaikah yang mati atas 'asbab' nya nyamuk?

Begitulah hebatnya al-Quran, sehinggakan perumpamaan sekecil itupun mempunyai maksud yang sangat luas dan tersirat. Asalkan manusia mahu berfikir dan meyakini bahawa setiap dari al-Quran tersangatlah benar, perintah dari al-Quran itu sangatlah tepat, larangan dari al-Quran itu jua adalah untuk menjaga manusia dan seluruh alam itu sendiri.

Jika kita melihat kepada masyakarat kita kini, di Malaysia, semakin ramai figura-figura ataupun kumpulan-kumpulan tertentu yang mempertikaikan al-Quran kononnya atas nama kebebasan, kemodenan, dan entah apa nama lagi. Mereka mengatakan bahawa al-Quran itu tidak sesuai diamalkan dizaman yang serba canggih ini, al-Quran itu lapuk, tidak 'up-to-date', dan sebagainya. Kononnya merekalah yang pandai dan terpandai. Sesungguhnya setiap apa yang diurunkan itu ada kebaikan dan hikmahnya untuk manusia. Tidak mungkin seorang pencipta motor tidak tahu bagaimana hendak menjaga motor tersebut dengan sebaik-baiknya . Dan amat mustahil jika pencipta yang sama tidak tahu langsung bagaimana nak memperbaiki motor tersebut jika rosak.

Allah yang menciptakan manusia, bahkan seluruh alam maya ini. Maka, Allahlah yang lebih mengetahui segala-galanya yang terbaik untuk makhluknya.. Ingatlah perumpamaan nyamuk...





Di mana Sebatan Hudud?

Assalamualaikum,

Sebentar tadi dua orang sahabat saya bertanyakan berkenaan hukuman sebat yang dilaksanakan di Mahkamah Syariah di Malaysia yang tercinta ini. Isu Kartika, sebatan syariah di Malaysia, dan apakah halangan terhadap pelaksanaan hudud di Malaysia. Maka berbekalkan sedikit ilmu dan kefahaman yang tidak seberapa, saya berkongsi sedikit bekalan yang tertanam dalam dada selama 'dok' mengaji syariah undang-undang ni.

Isu pertama adalah berkenaan kes Kartika. Kes ini mula diperbesar-besarkan oleh segolongan pihak kononnya undang-undang syariah bersikap tidak adil dalam menjatuhkan hukuman kerana telah Hakim Syarie iaitu YA Dato' Hj. Abd. Rahman telah menjatuhkan hukuman sebatan terhadap pesalah yang bergender wanita. Mereka cuba membanding-bandingkan undang-undang syariah dengan undang-undang sivil di mana di dalam undang-undang sivil, pesalah wanita tidak boleh dikenakan hukuman sebat berdasarkan Seksyen 289 Akta Prosedur Jenayah di dalam Kanun Keseksaan. Sedangkan di dalam enakmen syariah negeri-negeri (di dalam kes ini, Pahang) hukuman sebat tidak hanya dihadkan kepada pesalah lelaki sahaja kerana tiada peruntukan yang menyatakan sedemikian rupa (sila rujuk mana-mana enakmen tatacara jenayah syariah negeri-negeri). Dan ada beberapa isu lagi yang dibahaskan oleh masyarakat bahkan oleh pihak yang terlibat dalam undang-undang syariah sendiri yang tidak meneliti dahulu peruntukan Enakmen Pentadbiran Ugama Islam & Adat Resam Melayu Pahang 1982 tetapi sengaja buat-buat pandai.





Berkenaan sebatan syariah di Malaysia, adakah ia menepati apa sebagaimana yang telah digariskan oleh undang-undang Islam. Jawapannya ialah kaedah sebatan di dalam peruntukan undang-undang Syariah di Malaysia adalah menepati apa yang telah digariskan Islam. Cuma yang menjadi pertikaiannya ialah dari segi kadar sebatan ke atas kesalahan-kesalahan hudud. Yang lainnya seperti alat sebatan, keadaan pesalah semasa hendak disebat, anggota tubuh yang akan disebat, syarat-syarat penyebat, cara pelaksanaan sebatan dan sebagainya adalah menepati kaedah-kaedah Islam. Perkara ini boleh dirujuk kepada enakmen tatacara jenayah Syariah negeri-negeri jika berkehendakkan kepastian.

Dan isu yang terakhir dalam perbincangan tersebut ialah, apakah yang menjadi halangan terhadap pelaksanaan undang-undang hudud di Malaysia? Kenapa kadar sebatan hanya terhad kepada enam sebatan? Sebelum itu, kita perlu mengetahui bahawa Perlembagaan Persekutuan Malaysia adalah undang-undang tertinggi negara. Maka jika ada mana-mana akta atau enakmen yang bertentangan dengan Perlembagaan, akta atau enakmen tersebut akan tidak terpakai. Dan akta mempunyai kedudukan yang lebih atas daripada enakmen negeri-negeri kerana akta digubal oleh Dewan Rakyat manakala enakmen digubal oleh Dewan Undangan Negeri. Berbalik kepada isu, enakmen jenayah syariah di negeri-negeri hanya memperuntukkan hanya enam sebatan sebagai kadar maksimum hukuman sebat. Ini kerana Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 memperuntukkan bahawa Mahkamah Syariah hanya berkuasa untuk menjatuhkan hukuman sekadar tiga tahun penjara, lima ribu ringgit, dan enam kali sebatan. Peruntukan ini telah menyebabkan Dewan Undangan Negeri hanya mampu memperuntukan kuasa kepada Mahkamah Syariah sekadar apa yang diberikan. Dan selanjutnya pihak Mahkamah Syariah hanya mampu menjatuhkan hukuman sekadar kuasa yang diberikan kepadanya. Kebanyakan sahabat-sahabat saya yang kelihatan terlalu 'bersemangat' akan menimbulkan keraguan yang sepertinya munasabah dengan mengatakan kenapa tidak sahaja pihak-pihak yang menggubal undang-undang tidak menggubal undang-undang mengikut syariat Islam.

Bagi isu ini, saya berpendapat begini. Negara kita mempunyai tiga struktur utama yang menunjangi negara. Pihak yang menggubal undang-undang iaitu ahli Parlimen atau DUN, pihak pemerintah iaitu kerajaan, dan pihak yang melaksanakan undang-undang seperti Mahkamah (saya lupa istilah bagi setiap struktur ini). Secara umumnya undang-undang digubal oleh ahli Parlimen dan DUN bukan pihak mahkamah atau yang berkaitan dengannya. Maka jangan melontarkan kemarahan kepada pihak Mahkamah Syariah jika tidak menjatuhkan hukuman hudud terhadap kesalahan tertentu kerana mereka hanya melaksanakan apa yang telah digubal. Ahli Parlimen dan DUN ini adalah dipilih melalui pilihanraya umum yang diadakan empat tahun sekali. dan mereka dipilih oleh rakyat. Jadi, di sini saya cuba mengatakan bahawa adalah menjadi undang-undang Islam yang Syumul itu dapat dilaksanakan dengan TAHU, FAHAM, dan YAKIN, dan MAHU rakyat terhadap ISLAM itu sendiri.

Bagaimana tu?

Begini... Jika rakyat yang tahu, faham, yakin, dan mahu dengan Islam, maka apabila berlangsungnya pilihanraya umum, maka sudah tentunya mereka akan memilih ahli Parlimen dan DUN yang TAHU, FAHAM, YAKIN, dan MAHU kepada ISLAM. Apabila ahli-ahli yang dipilih ini mahu menggubal undang-undang pula, maka mereka akan merujuk pula kepada ISLAM. Setelah undang-undang ISLAM ini sudah digubal, maka bolehlah Mahkamah-mahkamah menjatuhkan hukuman berdasarkan undang-undang Islam. Dan apabila dijatuhkan hukuman, maka rakyat keseluruhannya yang FAHAM undang-undang Islam akan YAKIN bahawa setiap yang ditetapkan Islam itu mempunyai kebaikan baik untuk diri pesalah mahupun masyarakat amnya.

Kesimpulannya, tanamkan TAHU, FAHAM, YAKIN, dan MAHU kepada ISLAM di dalam diri masing-masing dan rakyat, maka mudahlah nanti undang-undang Islam itu dilaksanakan. Namun tidak dapat dinafikan usaha ini memerlukan pengorbanan banyak pihak bermula dari diri sendiri. Sedang Rasulullah SAW sendiri berdakwah hampir 13 tahun di Makkah sebelum mewujudkan Negara Islam Madinah. Semoga usaha setiap pihak mendapat RAHMAT dan REHDA dari ALLAH swt kerana itulah tujuan utama. Wallualam. =)

Tahun Baru Yang Haru Biru

Assalamualaikum,

Selepas saya membaca akhbar metro, terdetik untuk saya mengulas beberapa berita pada malam tahun baru yang boleh menyebabkan pesakit jantung tiba-tiba rasa hendak tercabut keluar jantungnya tetapi inilah realiti yang sudah terlalu acap kali berlaku sekarang. Manusia sudah terlalu biasa dengan dosa kecil dan semakin kerap berjinak-jinak dengan dosa-dosa besar bahkan menjadi asam garam kehidupan, KONONNYA...

Berita yang paling menjijikkan apabila sepasang lelaki berumur 38 tahun ditangkap khalwat bersama seorang wanita yang berumur 54 tahun di dalam sebuah bilik di hotel. Apabila ditanya oleh pegawai penguatkuasa agama a.k.a PPA kenapa pinti lambat dibuka, lelaki tersebut menjawab "takkan kami nak buka kot, kan tengah berbogel".

Satunya, berkenaan kesalahan yang dibuat iaitu berkhalwat. Bahkan wanita tua tersebut mengaku telah melakukan hubungan seks pada malam mereka ditangkap tersebut. Keduanya, mereka seolah-olah tidak berasa bersalah melakukan dosa tersebut terutamanya sang arjuna tersebut. Setakat pengetahuan saya, terdapat beberapa tahap hati apabila melakukan dosa. Iaitu apabila seseorang berbuat dosa, dia akan berasa bersalah dan takut. Maka hatinya masih boleh diperbaiki lagi. Biasalah, semua manusia tidak terlepas daripada dosa selain nabi dan rasul.
Tahap yang agak teruk ialah apabila berbuat dosa, hatinya tidak terasa bersalah ataupun takut lagi. Rasa biasa sahaja. Dosa yang dibuat itu seolah-olah 'a part of life'. NAUZUBILLAH. Yang paling teruk apabila seseorang itu berbuat dosa, bukan sahaja dia tidak berasa bersalah, malah dia berbangga dengan dosa yang dilakukannya seolah-olah dialah wira kerana berani melakukan dosa tersebut. NAUZUBILLAH..


Dan bermacam-macam ragam manusia lagi yang berpesta dosa pada malam tahun baru baru-baru ini. Apa yang mengecewakan, pihak kerajaan yang mempunyai kuasa untuk mengharamkan segala bentuk pesta maksiat pada malam tersebut bukan sahaja tidak berbuat demikian , malah menganjurkannya. Badan-badan bukan kerajaan dan jabatan-jabatan agama pula yang terpaksa bertungkus lumus membuat operasi secara besar-besaran amar makruf nahi munkar.

Maka, sebagai hamba Allah merangkap khalifan yang dilantik di muka bumi ini, marilah sama-sama memainkan peranan dalam menegakkan pelaksanaan Islam secara keseluruhannya di bumi Malaysia ini walau sekecil manapun peranan tersebut.

Wallahualam.

e-UNDI a.k.a e-VOTING

Assalamualiakum,


E-undi atau dalam bahasa inggerisnya e-voting merupakan suatu sistem yang sedang giat diperkenalkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi a.k.a KPT di universiti-universiti di seluruh negara di dalam pilihanraya kampus yang bakal dilangsungkan tidak lama lagi. Antara 'mangsa' terbaru e-undi ini ialah universiti yang paling hangat sekali iaitu tidak lain tidak bukan UNIVERSITI MALAYA.

Semalam 1 Januari 2010, saya telah menghadiri satu forum yang membincangkan secara terperinci berkenaan sistem e-undi tersebut. Saya berminat untuk menghadirinya kerana sepatutnya yang menjadi ahli panel ialah beberapa nama yang hebat seperti Prof Dr. Aziz Bari iaitu pakar perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Tetapi nampaknya beliau tidak dapat menghadiri forum tersebut kerana menurut Aizat a.k.a YB Akademi Pengajian Islam beliau telah ditekan dengan begitu kuat sekali dari pihak atasannya. Demokrasi betul la Malaysia ni... Sampai di kampus pun asyik menekan pihak yang tidak menyebelahi kerajaan.

Akhirnya forum tersebut digantikan oleh beberapa mahasiswa daripada Universiti Malaya sendiri iaitu Saudara Syafie Hashim a.k.a Pengerusi Pro-M Nasional dan Saudara Shazni Munir a.k.a BANYAK SANGAT JAWATAN. Dan satu-satunya ahli panel asal yang hadir ialah adun Teja.

Agak mengecewakan bagi saya kerana saya hadiri dengan serjuta harapan untuk mendengar perkara-perkara yang mungkin akan diulas oleh Prof Aziz Bari. Apapun saya mendapat sedikit input daripada forum tersebut berkenaan e-undi yang akan dilaksanakan dalam pilihanraya kampus akan datang.

Perkara yang ditegaskan oleh ketiga-tiga ahli panel ialah bukan pada sistem e-undi tersebut tetapi mereka membantah pengendali sistem tersebut kerana kredibilitinya boleh dipertikaikan. Dan saya tertarik dengan idea yang dikemukakan oleh Munir berkenaan sistem demokrasi yang sepatutnya di Malaysia yang mana terdiri daripada 3 kompenan utama iaitu Legislative, .... lupaaa. Berbeza dengan demokrasi yang kononnya dijalankan di UM di mana segalanya dikendalikan oleh pihak Hal Ehwal Pelajar a.k.a HEP. Daripada pilihanrayanya, mahkamah universitinya, bahkan melantik beberapa konco dari kalangan pelajar untuk bertanding bagi pihak mereka.



Dan apa yang dipertikaikan lagi ialah berkenaan kerahsiaan di dalam sistem e-undi yang akan dilaksanakan di Um ini. Sepatutnya setiap undi adalah rahsia, tetapi sistem hanya boleh masuk apabila pelajar memasukkan kata laluan masing-masing. Bukankah ini akan menyebabkan undi yang dibuat oleh para pelajar tidak lagi menjadi rahsia. Ish, dengarnya seolah-olah HEP ingat pelajar-pelajarnya masih budak hingusan yang hanya tahu main galah panjang sahaja.

Dan ini adalah sangat bertentangan dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti a.k.a AUKU. Fasal 48 (2)(a) menyatakan :

"Kesatuan hendaklah memilih suatu Majlis Perwakilan Pelajar-pelajar (kemudian daripada ini dalamPerlembagaan ini disebut "MPP") mengikut cara yang berikut :
(a) pelajar berdaftar setiap Fakulti, Sekolah, Pusat, Akademi, dan Institut hendaklah memilih melalui undi rahsia yang dijalankan oleh Dekan Fakulti atau Ketua Sekolah, Pusat, Akademi, atau Institut, mengikut mana-mana yang berkenaan, sebilangan pelajar berdaftar yang sama bilangannya daripada Fakulti, Sekolah, Pusat, Akademi, dan Institut itu menjadi wakil dalam MPP, sebagaimana yang ditentukan oleh Naib Canselor."

Nampaknya AUKU yang digubal dan disokong separuh mati oleh pihak-pihak ini a.k.a KPT an HEP akhirnya akan dicabuli oleh mereka sendiri. TAHNIAH!!

Wallahualam.


Keputusan Keseluruhan Pertandingan Mahkamah Moot Syariah Antara Universiti 2009

ANUGERAH PENGHUJAH TERBAIK

1) UMMU UMAIRAH BINTI AZAHARI DARI (K2310), USIM
PELAJAR SARJANA MUDA SYARIAH DAN UNDANG-UNDANG
TAHUN 4

2) AISHAH BINTI FAUZI DARI (K1602), UIA
PELAJAR SARJANA MUDA UNDANG-UNDANG
TAHUN 3

3) MADIHAH NIKMAH BINTI MOHD HAMIDIM DARI (K0104) UDM,
PELAJAR FAKULTI UNDANG-UNDANG DAN HUBUNGAN ANTARABANGSA,
TAHUN 2

4) NURUL AISHAH ROSLI DARI (K2310) USIM
PELAJAR SARJANA MUDA SYARIAH DAN UNDANG-UNDANG,
TAHUN 4

5) AHMAD SYIIMIR SUFFIAN DARI (K2411) UKM
PELAJAR SARJANA MUDA UNDANG-UNDANG,
TAHUN 3


ANUGERAH PASUKAN TERBAIK

1. K2310 DARI Fakulti Syariah dan Undang-undang, USIM

2. K0104 DARI Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa, UDM

3. K1909 DARI Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim UIA

4. K0503 DARI Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Malaysia UDM

5. K2612 DARI Akademi Pengajian Islam UM


ANUGERAH HUJAHAN BERTULIS

1. K3010 DARI Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM
2. K1909 DARI Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim UIA
3. K1602 DARI Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim UIA

CENDERAHATI PENYERTAAN PMMS2009

K2411 Fakulti Undang-undang, UKM

K1407 UUM, Kolej Undang-undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa

K1602 Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, UIA

K2310 Fakulti Syariah dan Undang-undang , USIM

K0503 Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Malaysia (UDM)

K1305 Jabatan Undang-undang, Akademi Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)

K0709 Akademi Pengajian Islam , UM

K1804 Fakulti Syariah dan Undang-undang , USIM

K1110 Fakulti Pengajian Islam UKM

K1909 Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, UIA

K3010 Fakulti Syariah dan Undang-undang , USIM

K2612 Akademi Pengajian Islam , UM

K0104 Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa, UDM

K0208 Jabatan Undang-undang, Akademi Islam Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)

Isu Murtad Lagi

Berita hari ini memaparkan bahawa seorang India yang beragama Islam membuat suatu permohonan ke mahkamah sivil supaya mengisytiharkan bahawa beliau bukan beragama Islam dan pengislamannya ketika berumur 7 tahun ketika itu adalah atas paksaan. Pada waktu beliau berumur 7 tahun, beliau menetap di Rumah Kebajikan Bakti di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Saya tidak pasti nama plaintif di dalam kes ini tetapi antara respondennya ialah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang dan Perkim. Terdapat beberapa isu di dalam kes ini. Yang pertamanya ialah mahkamah yang berbidang kuasa dalam persoalan pengisytiharan Islam seseorang atau tidak. Dan keduanya ialah berkenaan umurnya ketika memeluk Islam iaitu 7 tahun.

Hendaklah diketahui bahawa mahkamah sivil di Malaysia menggunakan sistem binding precident iaitu kes yang dahulu mengikat kes yang mendatang jika mempunyai persamaan dari segi isu dan persoalan. Ini berbeza dengan mahkamah syariah. Baiklah, mengikut kes-kes yang pernah diputuskan sebelum ini, seperti kes Lina Joy, mahkamah telah memutuskan bahawa mahkamah yang berbidang kuasa didalam perkara berkaitan murtad ialah agama Islam. Ini adalah bertepatan dengan Perlembagaan Persekutuan (tak ingat jadual berapa) yang menyatakan perkara-perkara yang di bawah bidangkuasa negeri atau mahkamah syariah dan telah dikuatkan dengan perkara 121(1A) yang menyatakan bahawa mahakamah sivil tidak berbidang kuasa terhadap perkara yang mahkamah syariah berbidang kuasa.

Maka, bukankah sudah jelas bahawa sepatutnya kes ini dibawa ke mahkamah syariah, bukannya ke mahkamah sivil. Peguam pihak Plaintif sepatutnya tahu perkara ini tetapi mungkin untuk mencabar keputusan yang pernah diputuskan sebelum ini. Dan mungkin untuk menguju sejauh mana pendirian kerajaan dibawah pimpinan Perdana Menteri yang baru di dalam isu ini.

Persoalan yang kedua ialah bahawa pengislaman Plaintif ialah ketika berumur 7 tahun. Plaintif menggunakan alasan bahawa beliau dipaksa memeluk Islam ketika itu. Alasan ini adalah sama sekali tidak munasabah. Jika dibincang secara logik dan mengikut urf, seseorang yang berumur 7 tahun masih lagi di bawah penjagaan dan bimbingan ibu ayahnya. Bahkan menurut Perlembagaan Persekutuan (tak ingat dan bukunya dah hilang) seseorang yang berumur di bawah 18 tahun adalah mengikut agama ibu ayahnya. Dan juga terdapat kes yang pernah diputuskan oleh Tun Abbas ketika beliau menjadi Ketua Hakim Negara yang memutuskan sedemikian.

Jadi, adalah juga tidak munasabah beliau menggunakan alasan tersebut. Dan kemungkinan seperti yang saya sebutkan sebelum ini, bahawa mungkin terdapat pihak-pihak tertentu yang ingin menguji pendirian kerajaan baru berkenaan isu ini terutamanya ketika slogan 1 Malaysia kerap dilaungkan.

Harapnya umat Islam senantiasa peka terhadap persoalan ini dan bersama-sama berjuang agar maruah Islam tidak diinjak-injak dengan sewenang-wenangnya. Apapun kita lihat episod drama ini seterusnya. Wallahualam.

Selamat berjaya untuk sahabat-sahabat setaman yang akan mendapat keputusan PMR esoknya.