Isu Murtad Lagi

Berita hari ini memaparkan bahawa seorang India yang beragama Islam membuat suatu permohonan ke mahkamah sivil supaya mengisytiharkan bahawa beliau bukan beragama Islam dan pengislamannya ketika berumur 7 tahun ketika itu adalah atas paksaan. Pada waktu beliau berumur 7 tahun, beliau menetap di Rumah Kebajikan Bakti di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Saya tidak pasti nama plaintif di dalam kes ini tetapi antara respondennya ialah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang dan Perkim. Terdapat beberapa isu di dalam kes ini. Yang pertamanya ialah mahkamah yang berbidang kuasa dalam persoalan pengisytiharan Islam seseorang atau tidak. Dan keduanya ialah berkenaan umurnya ketika memeluk Islam iaitu 7 tahun.

Hendaklah diketahui bahawa mahkamah sivil di Malaysia menggunakan sistem binding precident iaitu kes yang dahulu mengikat kes yang mendatang jika mempunyai persamaan dari segi isu dan persoalan. Ini berbeza dengan mahkamah syariah. Baiklah, mengikut kes-kes yang pernah diputuskan sebelum ini, seperti kes Lina Joy, mahkamah telah memutuskan bahawa mahkamah yang berbidang kuasa didalam perkara berkaitan murtad ialah agama Islam. Ini adalah bertepatan dengan Perlembagaan Persekutuan (tak ingat jadual berapa) yang menyatakan perkara-perkara yang di bawah bidangkuasa negeri atau mahkamah syariah dan telah dikuatkan dengan perkara 121(1A) yang menyatakan bahawa mahakamah sivil tidak berbidang kuasa terhadap perkara yang mahkamah syariah berbidang kuasa.

Maka, bukankah sudah jelas bahawa sepatutnya kes ini dibawa ke mahkamah syariah, bukannya ke mahkamah sivil. Peguam pihak Plaintif sepatutnya tahu perkara ini tetapi mungkin untuk mencabar keputusan yang pernah diputuskan sebelum ini. Dan mungkin untuk menguju sejauh mana pendirian kerajaan dibawah pimpinan Perdana Menteri yang baru di dalam isu ini.

Persoalan yang kedua ialah bahawa pengislaman Plaintif ialah ketika berumur 7 tahun. Plaintif menggunakan alasan bahawa beliau dipaksa memeluk Islam ketika itu. Alasan ini adalah sama sekali tidak munasabah. Jika dibincang secara logik dan mengikut urf, seseorang yang berumur 7 tahun masih lagi di bawah penjagaan dan bimbingan ibu ayahnya. Bahkan menurut Perlembagaan Persekutuan (tak ingat dan bukunya dah hilang) seseorang yang berumur di bawah 18 tahun adalah mengikut agama ibu ayahnya. Dan juga terdapat kes yang pernah diputuskan oleh Tun Abbas ketika beliau menjadi Ketua Hakim Negara yang memutuskan sedemikian.

Jadi, adalah juga tidak munasabah beliau menggunakan alasan tersebut. Dan kemungkinan seperti yang saya sebutkan sebelum ini, bahawa mungkin terdapat pihak-pihak tertentu yang ingin menguji pendirian kerajaan baru berkenaan isu ini terutamanya ketika slogan 1 Malaysia kerap dilaungkan.

Harapnya umat Islam senantiasa peka terhadap persoalan ini dan bersama-sama berjuang agar maruah Islam tidak diinjak-injak dengan sewenang-wenangnya. Apapun kita lihat episod drama ini seterusnya. Wallahualam.

Selamat berjaya untuk sahabat-sahabat setaman yang akan mendapat keputusan PMR esoknya.






0 comments:

Post a Comment