Qanun Jinayat Syariah Aceh masih tidak diluluskan oleh Gabenornya walaupun Dewan Perwakilannya telah meluluskan draf tersebut yang menyebabkan ia masih tidak dapat dilaksanakan di Aceh. Dan tidak dinafikan banyak kekangan dan kritikan berbentuk undang-undang yang kebanyakannya sengaja ditimbulkan bagi mengelakkan pelaksanaan undang-undang Islam tersebut.
Banyak alasan yang digunakan oleh pihak-pihak yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan undang-undang tersebut. Sehingga alasan yang tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang yang mengaku beriman kepada Allah, yang mengucap 2 kalimah syahadah juga dinyatakan. Antara alasannya ialah kononnya pelaksanaan undang-undang Islam tersebut akan menyebabkan kurangnya pelabur asing dan pelancong asing kerana kononnya mereka akan takut terhadap undang-undang Islam tersebut, seterusnya akan menyebabkan ekonomi Acheh merosot.
Apakah alasan ini munasabah dikeluarkan oleh mereka yang mengucap 2 kalimah syahadah, yang menyatakan tiada tuhan selain Allah? Adakah ucapan hanya tinggal ucapan tanpa beriman kepadaNya dengan sebenar-benar beriman?
Kembalilah kita melihat kepada ayat Allah di dalam surah at-Talaq ayat 2 dan 3 yang menyatakan sebagaimana berikut :
"Dan sesiapa Yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari Segala perkara Yang menyusahkannya),
serta memberinya rezeki dari jalan Yang tidak terlintas di hatinya. dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan Segala perkara Yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu."
Bukankah di dalam ayat tersebut, dengan jelas Allah menyatakan bahawa Allahlah yang memberikan rezeki dan kepada Allahlah diserahkan segala pengharapan. Bukannya kepada pelabur-pelabur asing atau mat-mat saleh yang tidak soleh itu. Asal kita bertaqwa dan melakukan apa sahaja yang diperintah Allah dan meninggalkan laranganNya, maka Allah akan membantu kita.
Maka, bukan sahaja di Acheh, bahkan di Malaysia juga perlu dilaksanakan undang-undang Islam yang telah ditetapkan dengan jelas oleh Allah, agar kita akan dilimpahkan rahmat dan rezeki yang sebanyak-banyaknya yang hanya dari Allah datangnya rezeki.
Wallahualam.
0 comments:
Post a Comment