TANWIR AL-MASALIK
Oleh : Syeikh Dr. Mustapha Dib Bugho
(Salah seorang masyaikh Syria, Pensyarah Universiti Dimasyq,
dan salah seorang pengarang Fiqh Manhaji)


BAB PUASA

Puasa dari segi bahasa bermaksud menahan daripada sesuatu, sebagaimana firman Allah Taala di dalam Surah Maryam ayat 26 :

   
“Sesungguhnya aku bernazar untuk diam membisu kerana (Allah) Yang Maha Pemurah”

Puasa di dalam ayat di atas membawa maksud menahan diri dari berkata-kata.

Dari istilah syarak pula ia membawa maksud menahan diri daripada kemahuan perut dan kemaluan serta apa-apa yang membangkitkan kemahuan kedua-duanya dan melawan nafsu supaya dapat mentaati Allah Azzawajalla, pada sepanjang siang hari yang disertai dengan niat sebelum fajar (sebelum waktu subuh) atau sewaktu fajar (jika mampu).

Dan puasa dengan membawa makna peringatan iaitu kefardhuan yang telah ditetapkan oleh Allah kepada umat-umat yang terdahulu, dan telah ditetapkan juga sebagai suatu kefardhuan buat umat ini (umat Nabi Muhammad SAW) sehingga hari kiamat. Allah SWT berfirman di dalam Surah al-Baqarah ayat 183 :

             
“Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum daripada kamu, moga-moga kamu beroleh ketaqwaan.”

Puasa merupakan antara asas yang penting daripada asas-asas agama Islam iaitu agama yang diredhai Allah yang diwahyukan buat seluruh alam. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah al-Maidah ayat 3 :

            
“Pada hari ini, telah Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agama untuk kamu.”

Daripada Abdullah Bin Umar ra berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Dibina Islam atas lima perkara, bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, melaksanakan haji, dan berpuasa di bulan Ramadhan.” (Hadis riwayat Bukhari, Kitab Iman, No. 8, dan riwayat Muslim pada kitab Iman, No. 16).

Dibina Islam bermaksud ibadah-ibadah asas di dalam Islam itu ada lima perkara. Ibadah-ibadah ini umpama batu asas bagi sesebuah binaan di mana tidak akan terbangun binaan tersebut tanpa batu asasnya.

Kelebihan puasa dan bulan Ramadhan :

Banyak hadis yang telah diriwayatkan yang menerangkan sama ada tentang kelebihan berpuasa secara umum mahupun kelebihan bulan Ramadhan secara khusus. Hadis-hadis ini jelas menunjukkan bahawa puasa merupakan antara ibadah yang utama dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT. Bahkan pahala dan ganjaran puasa tersangatlah besar berbanding ibadah-ibadah yang lain. Bulan Ramadhan pula merupakan waktu yang sangat utama buat umat Islam berlumba-lumba dalam mengerjakan kebajikan bagi mendapat ganjaran berupa keselamatan daripada api neraka dan memperolehi kedudukan dan tempat yang tinggi disisi Allah di syurga yang disediakan buat hamba-hambaNya yang bertaqwa.

Daripada Abu Hurairah ra, bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Puasa itu perisai, jika salah seorang kamu berpuasa maka janganlah bercakap tentang perkara-perkara keji dan janganlah melakukan kejahilan, jika seseorang ingin memerangi atau menyakitinya, katakanlah : Sesungguhnya aku berpuasa sesungguhnya aku berpuasa. Demi diriku ditanganNya bau mulut orang yang berpuasa adalah lebih baik disisi Allah daripada haruman kasturi, sesungguhnya dia telah meninggalkan nafsunya, makanannya, dan minumannya semata-mata mencari keredhaanKu (firman Allah). Maka puasa itu adalah buatKu dan Akulah yang akan mengganjarinya, setiap kebaikan yang dibuat akan diganjari dengan sepuluh kebajikan sehingga tujuh ratus kali ganda, kecuali puasa, puasa itu adalah buatKu dan Akulah yang akan membalasnya.” (Muwatta’, Kitab Puasa, No. 57 dan 58. Bukhari, Kitab Puasa, No. 1805. Muslim, Kitab Puasa, No. 1151)

Perisai bermaksud perlindungan dan penjagaan daripada melakukan maksiat atau daripada dimasukkan ke dalam neraka.

Melakukan kejahilan iaitu melakukan perkara-perkara yang dilakukan oleh orang-orang jahil dan bodoh dsb.

Bau mulut orang yang berpuasa yang berubah disebabkan tidak makan dan minum.

Maka puasa adalah buatKu, menurut Imam Qurtubi di dalam tafsirnya, bahawa puasa itu mempunyai kedudukan yang khusus di sisi Allah. Ibadah puasa berbeza daripada ibadah-ibadah lain dalam dua perkara :

Pertama : Berpuasa itu akan dapat mencegah diri daripada melayan kehendak nafsu dan syahwat yang tidak ada di dalam ibadah selainnya.

Kedua : Puasa itu merupakan suatu ibadah yang tersembunyi di antara hamba dengan tuhannya yang tidak diketahui hal keadaan puasa seseorang itu melainkanNya.* Maka, Allah mengkhususkan puasa untuk Dia sendiri menilainya. Ia berbeza dengan ibadah-ibadah zahir yang lain kerana ibadah-ibadah zahir yang lain kemungkinan boleh dilakukan untuk menunjuk-nunjuk dan riyak.

*Hanya Allah sahaja yang mengetahui puasa seseorang itu secara keseluruhannya samada kemungkinan seseorang itu seolah-olah puasa di hadapan orang ramai, tetapi sebaliknya. Seperti mandi sambil minum air pada siang hari dibulan Ramadhan ataupun menyorok dalam almari sambil makan pisang goreng atau cekodok dsb.

Dan daripada Sahl Bin Sa’ad ra, daripada Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya di syurga itu terdapat sebuah pintu yang dinamakan al-Rayyan,* akan masuk melaluinya pada hari kiamat oleh orang-orang yang berpuasa, tidak selain mereka, mereka akan ditanya : Di mana orang-orang yang berpuasa? Maka mereka berdiri, tidak masuk melaluinya (iaitu pintu al-Rayyan) selain mereka, setelah mereka masuk maka pintu tersebut akan ditutup, maka tiada siapa boleh masuk melaluinya.” (Riwayat Bukhari, Kitab puasa, No. 1797. Muslim, Kitab Puasa, No. 1152)

*Jika sekarang ini dato’-dato’, datin-datin, menteri-menteri dianggap sebagai VVIP di dalam sesuatu majlis dan seumpamanya, disediakan tempat duduk khas, tempat makan diasingkan daripada tetamu lain dsb. Tetapi di akhirat nanti VVIP ini ialah antaranya orang yang rajin berpuasa sehingga disediakan untuknya pintu khas yang tidak boleh dilalui oleh orang lain.

Al-Rayyan membawa adalah bentuk kata hiperbola atau berlebih-lebihan bagi al-riyyi iaitu lawan bagi dahaga.*

*Perlu rujuk sendiri kamus antonim atau seumpanya bagi mengenalpasti kata lawan bagi dahaga di dalam bahasa melayu a.k.a malaysia.

Daripada Abu Hurairah ra berkata, Rasulullah SAW telah bersabda, “Apabila telah masuk Ramadhan, maka dibukakan pintu-pintu syurga (pada riwayat lain menyatakan pintu-pintu langit), dan ditutup pintu-pintu neraka (pada riwayat lain menyatakan pintu-pintu Jahannam), dan dirantai (dibelenggu) syaitan-syaitan.”

Dan daripada Abu Hurairah ra juga, daripada Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan ketaqwaan, diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu.” (Muwatta’, Kitab Puasa, Hadis: 59. Bukhari, Kitab puasa, No. 1800 dan 1802. Muslim, Kitab Solat Musafir dan qasar, No. 760 dan Kitab Puasa, No. 1079)

DIWAJIBKAN PUASA RAMADHAN KE ATAS SETIAP ORANG ISLAM YANG BALIGH, BERAKAL, MAMPU UNTUK BERPUASA, SERTA SUCI DARIPADA HAID DAN NIFAS.

Puasa bulan Ramadhan hanya dikhususkan dan difardhukan oleh Allah SWT buat umat ini semata-mata yakni umat Nabi Muhammad SAW yang terkandung di dalam bulan ini dengan seribu satu keberkatan dan keistimewaan. Allah SWT berfirman di dalam Surah al-Baqarah ayat 185 :

       ••           
“(Waktu yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, barangsiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu”

Petunjuk bagi sekalian manusia ialah al-Quran yang menjadi petunjuk buat manusia ke jalan yang benar kerana pada zat al-Quran itu sendiri adalah hidayah.

Keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk iaitu keterangan-keterangan yang menjelaskan ke arah jalan yang benar terutamanya dalam membezakan diantara yang halal dan yang haram.

Al-Furqan iaitu yang membezakan diantara yang benar dan yang salah.

Barangsiapa diantara kamu yang menyaksikan bulan bermaksud yang menyaksikan pada waktu tersebut ialah seseorang yang menetap di kawasan tersebut, dan melihat anak bulan ataupun dikira berdasarkan kaedah rukyah.

Daripada Talhah Bin Ubaidillah ra, telah datang seorang a’rabiyyan yang tidak terurus rambutnya kepada Rasulullah SAW lalu berkata, “Wahai Rasulullah, beritahu kepadaku apakah solat yang telah difardhukan Allah ke atasku?” Sabda Rasulullah SAW, “Solat lima waktu, kecuali kamu melakukan sesuatu yang disunatkan.” Dia bertanya, “ Beritahu kepadaku apakah puasa yang telah difardhukan Allah ke atasku?” Sabda Rasulullah SAW, “Puasa di bulan Ramadhan, kecuali kamu melakukan sesuatu yang disunatkan.” Dia bertanya, “Beritahu kepadaku apakah zakat yang telah difardhukan Allah keatasku?” Maka jawab Rasulullah SAW iaitulah zakat yang telah disyariatkan Islam. Dia berkata, “Demi kemulianmu (Rasulullah), aku langsung tidak menunaikan perkara-perkara sunat, (tetapi juga) aku tidak mengurangkan langsung apa yang telah difardhukan Allah ke atasku.” Maka Sabda Rasulullah SAW, “Berjayalah kamu jika kamu berkata benar. Atau, kamu akan dimasukkan ke dalam syurga jika demikian.” (Bukhari, Kitab Puasa, No. 1792. Muslim, Kitab Iman, No. 11)

A’rabiyyan iaitu dikatakan bahawa dia adalah Dhimam Bin Tha’labah ra sepertimana yang telah diriwayatkan oleh Bukhari di dalam Kitab ilmu, No. 63, “Aku utusan daripada kaumku, dan aku Dhimam Bin Tha’labah, saudara Bani Sa’ad Bin Bakr.”

Tidak terurus rambutnya sepertimana dia berada dalam keadaan musafir.

Perkara-perkara sunat iaitu melakukan sesuatu ibadah tambahan selain daripada yang telah diwajibkan.

Berjayalah kamu jika kamu berkata benar bermaksud dia pasti beroleh kebajikan jika dia melakukan segala ibadah yang telah difardhukan ke atasnya dengan tidak mengurangkan sedikitpun daripadanya.

Dan telah difardhukan (disyariatkan) puasa Ramadhan pada bulan Syaaban tahun kedua hijrah. Rasulullah SAW telah sempat berpuasa selama sembilan Ramadhan. (Sirah Ibnu Hisyam, Thobaqot Ibnu Sa’ad, Jami’ fi al-Sirah al-Nabawiyyah karangan Samirah al-Zayid)

MAKA TIDAK DIFARDHUKAN KE ATAS ORANG KAFIR, KANAK-KANAK, ORANG GILA, DAN YANG TIDAK BERKEMAMPUAN UNTUK BERPUASA DISEBABKAN TUA ATAUPUN SAKIT YANG TIADA HARAPAN SEMBUH, UNTUK BERPUASA SAMADA DI BULAN RAMADHAN ATAUPUN PUASA GANTI, TETAPI MEREKA YANG TIDAK BERKEMAMPUAN INI DIWAJIBKAN MEMBAYAR FIDYAH SECUPAK MAKANAN BAGI SETIAP HARI YANG DITINGGALKAN.

Kesemua mereka yang disebutkan di atas tidak diwajibkan berpuasa samada di bulan Ramadhan itu sendiri atau menggantikannya pada kemudian hari kerana mereka bukanlah orang-orang mukallaf pada waktu diwajibkan berpuasa (iaitu bulan Ramadhan).
Adapun orang kafir tidak diwajibkan berpuasa keatasnya kerana antara syarat sah puasa ialah Islam, bahkan ia merupakan syarat sah bagi semua amalan.

Daripada Ibnu Abbas ra, sesungguhnya Rasulullah SAW telah mengutuskan Muaz ra ke Yaman, sabda Rasulullah SAW, “Serulah mereka supaya bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya aku utusan Allah, maka jika mereka menerimanya ajarkanlah mereka bahawa sesungguhnya Allah telah memfardhukan ke atas mereka solat lima waktu sehari semalam, maka jika mereka menerimanya ajarkanlah kepada mereka bahawa sesungguhnya Allah telah memfardhukan sedekah (yakni zakat) ke atas harta mereka yang diambil dari kalangan orang-orang kaya dan dibahagikan kepada orang-orang yang fakir.” (Bukhari, Kitab zakat, No. 1331. Muslim, Kitab Iman, No. 19)

Hadis di atas menjadi hujah bahawa orang kafir tidak difardhukan dengan sesuatu ibadah melainkan setelah mereka memeluk Islam.

Adapun kanak-kanak, jika dia seorang yang belum mumayyiz (iaitu tidak dapat membezakan diantara perkara yang baik dan buruk)* maka tidak sah puasanya kerana tiada kesedaran dan pemahaman pada pemikirannya. Jika dia telah mumayyiz, sah puasanya tetapi belum lagi diwajibkan puasa ke atasnya kerana belum menepati syarat taklif iaitu baligh.**

*Sebagai contoh jika kanak-kanak tersebut belum dapat membezakan antara najis dengan aiskrim coklat dsb, maka dia belum lagi dikira mumayyiz. Kebiasaanya kanak-kanak sudah mencapai tahap mumayyiz pada umur tujuh tahun.

** Iaitu samada telah mimpi basah sahaja atau mimpi dan keluar air mani bagi lelaki, atau keluar darah haid bagi perempuan, atau jika tidak melalui salah satu daripadanya maka baligh dikira berdasarkan cukup umur. Iaitu 15 tahun qamariyyah atau hijrah bagi lelaki dan 9 tahun qamariyyah atau hijrah bagi perempuan.

Adapun orang gila, juga tidak sah puasanya kerana tiada kesedaran dan pemahaman pada pemikirannya. Dan tidak diwajibkan ke atasnya berpuasa kerana tidak menepati syarat taklif iaitu berakal.

Daripada Ali ra, daripada Nabi SAW bersabda, “Diangkat pena dalam tiga perkara, daripada seseorang yang tidur sehinggalah dia sedar dari tidurnya, daripada kanak-kanak sehinggalah dia bermimpi, daripada seorang yang gila sehinggalah dia berakal.”

Telah diriwayatkan hadis yang sama daripada ‘Aisyah ra. (Abu Daud, Kitab hudud, No. 4398 dan 4403. Tirmizi, Kitab Hudud, No. 1423. Nasai, Kitab Talak, No. 3432. Ibnu Majah, Kitab Talak, No. 2041 dan 2042. Musnad Ahmad : 1/116) Terdapat perbezaan pada
sebahagian perkataan pada setiap riwayat.

Diangkat pena bermaksud tidak diambil kira perbuatannya.

Bermimpi iaitu telah baligh (cukup umur).

Berakal iaitu dia sudah sedar (samada daripada gila atau selainnya).

Adapun orang yang tidak berkemampuan untuk berpuasa kerana mempunyai masalah yang kritikal (seperti sakit tua atau sakit yang tidak mempunyai harapan untuk sembuh) maka tidak diwajibkan berpuasa ke atasnya. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah al-Haj ayat 78 :

       
“Dan Allah tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dalam perkara agama”

Jika dia tetap berpuasa, sah puasanya kerana ada padanya syarat-syarat taklif iaitu Islam, berakal, baligh, dan tidak ada padanya halangan-halangan untuk berpuasa seperti haid, nifas, dan kafir. Tetapi jika dia tidak mampu berpuasa samada pada bulan Ramadhan ataupun tidak mampu menggantikannya pada waktu lain, wajib ke atasnya menggantikan puasanya dengan membayar fidyah.

Firman Allah SWT di dalam Surah al-Baqarah ayat 184 :

      
“Wajib atas orang-orang yang tidak mampu untuk berpuasa (kerana tua, sakit, dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan kepada orang miskin.”

Berkata Ibnu Abbas ra bahawa ayat ini tidak dimansukhkan* dan ia digunapakai untuk orang-orang yang tua yang tidak mampu untuk berpuasa. Maka wajib ke atas mereka memberi makan orang miskin untuk setiap hari bagi puasa yang ditinggalkan.

*Terdapat sahabat yang menyatakan bahawa ayat ini telah dimansukhkan hukumnya. Ibnu Abbas menyatakan bahawa hukum membayar fidyah hanya dimasukhkan kepada orang lain selain orang yang tidak mampu untuk berpuasa samada pada bulan Ramadhan atau menggantikannya. Juga untuk wanita hamil yang bimbangkan kandungannya dan wanita yang menyusu yang bimbangkan anaknya, maka wanita-wanita ini wajib juga membayar fidyah serta menggantikan puasa bagi setiap hari yang ditinggalkan. Ia diistilahkan sebagai mansukh juz’i. Wallahu’lam.

Dan daripada Ibnu Abbas ra berkata , “Apabila seorang yang telah tua tidak mampu untuk dia berpuasa, maka wajib keatasnya memberi makan (kepada fakir miskin) secupak makanan bagi setiap hari yang ditinggalkan.”

Dan daripada Abu Hurairah ra berkata, “Barangsiapa yang telah sampai umur tua, yang tidak mampu untuk dia berpuasa bulan Ramadhan, diwajibkan ke atasnya bagi setiap hari secupak gandum*.” (Baihaqi, Kitab Puasa, 4/271).

*Menurut Syeikh Bugho, kadar fidyah yang perlu dibayar adalah sebanyak harga sehidangan makanan yang dimakan oleh kebiasaan orang. Sebagai contoh, jika kebiasaan seseorang itu makan, hidangannya adalah nasi, kari ikan, kailan ikan masin, dan sirap bandung, maka kadar fidyah yang perlu dibayar adalah sebanyak kadar hidangan tersebut. Tapi kalau tak silap di Malaysia dah ditentukan kadar fidyah, maka ikut ja kadar yang ditetapkan tu.

DIWAJIBKAN KE ATAS ORANG YANG SAKIT, MUSAFIR, MURTAD, HAID, DAN NIFAS SUPAYA MENGGANTIKAN PUASA MEREKA. JIKA ORANG SAKIT DAN MUSAFIR MASIH JUGA INGIN BERPUASA MAKA SAH PUASA MEREKA. TETAPI TIDAK SAH PUASA ORANG MURTAD, ATAU WANITA YANG DALAM KEADAAN HAID DAN NIFAS.

Iaitu tidak diwajibkan mereka berpuasa pada waktunya (bulan Ramadhan) disebabkan keuzuran (syarak) yang ada pada mereka samada disebabkan keuzuran yang disebabkan rukhsah (keringanan disebabkan sakit dsb), ataupun telah hilang syarat atau kelayakan sebagai mukallaf (contohnya orang yang murtad), ataupun terdapat halangan-halangan syarak (iaitu haid dan nifas).
Adapun orang yang sakit dan musafir tidak diwajibkan berpuasa kerana diberikan rukhsah ke atas mereka. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 185 :
          
“Dan sesiapa yang sakit atau sedang bermusafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.”
Maksud orang yang sakit di dalam ayat ini ialah orang sakit yang ada harapan untuk sembuh, dan musafir bermaksud orang yang dalam perjalanan yang diharuskan syarak.*
*Musafir ini adalah orang yang dalam perjalanan yang melebihi 2 marhalah atau lebih kurang 90 km dengan suatu sebab yang diharuskan. Maka tidak dikatakan musafir jika sekadar bertolak dari rumah di Kepala Batas Pulau Pinang ke kampung di Merbok Kedah yang jaraknya sekadar lebih kurang 30 km. Dan tidak juga dikira musafir walaupun perjalanan melebihi 90 km tetapi atas tujuan yang tidak diharuskan syarak seperti hendak menyertai ujibakat rajalawak dan seumpamanya.
Adapun orang murtad maka tidak diwajibkan berpuasa ke atasnya disebabkan telah hilang daripadanya syarat sah puasa iaitu Islam. Dan jika dia kembali semula kepada Islam, wajib ke atasnya menggantikan puasanya semula (selama waktu murtadnya)*, dan pemerintah hendaklah menjatuhkan hukuman ke atasnya dan mendisiplinkannya (dengan cara hidup Islam).
*Sebagai contoh, Mamat asalnya Islam kemudian murtad dari Islam. Setelah 5 tahun Mamat kembali semula kepada Islam. Maka wajib ke atas Mamat menggantikan puasa bulan Ramadhan selama 5 tahun tersebut iaitu tempoh Mamat murtad. Samada dalam tempoh itu dia berpuasa ataupun tidak kerana tidak sah puasa orang bukan Islam a.k.a kafir.
Adapun wanita yang dalam keadaan haid dan nifas, bukan sahaja tidak diwajibkan berpuasa bahkan tidak dibenarkan berpuasa disebabkan terdapat halangan syarak iaitu haid ataupun nifas. Jika mereka menahan diri daripada makan, minum dsb disertai dengan niat berpuasa maka haram hukumnya (berdosa).
Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW berkaitan wanita, Rasulullah SAW telah ditanya tentang apakah yang dimaksudkan dengan kurangnya agama pada wanita, maka sabda Rasulullah SAW, “Bukankah apabila seseorang wanita didatangi haid dia tidak mengerjakan solat dan tidak berpuasa.” Pada riwayat lain, “Dia (iaitu wanita yang didatangi haid) melalui malam-malamnya tanpa solat, dan berbuka pada siang Ramadhan.” (Bukhari, Kitab Puasa, No. 185. Muslim, Kitab Iman, No. 79 dan 80).
Maka para fuqaha’ telah menqiyaskan bahawa wanita yang dalam keadaan nifas juga tidak diwajibkan berpuasa sebagaimana wanita yang didatangi haid.
Dan dalil yang menunjukkan bahawa diwajibkan supaya menggantikan puasa kepada kedua-dua wanita yang didatangi haid atau nifas adalah apa yang telah didatangkan daripada Mu’azah, dia berkata, “Aku telah bertanya kepada Sayyidatina ‘Aisyah ra, “Apakah benar wanita haid telah diperintahkan untuk menggantikan puasa dan tidak perlu menggantikan solatnya?” Jawab ‘Aisyah, “Itulah sebagaimana yang telah diperintahkan ke atas kita. Diperintahkan ke atas kita supaya menggantikan puasa dan tidak diperintahkan supaya menggantikan solat.” (Bukhari, Kitab Haid, N0. 315. Muslim, Kitab Haid, No. 335).
Sebagaimana yang telah kamu ketahui, wanita yang dalam keadaan nifas sama hukumnya dengan wanita yang dalam keadaan haid.
JIKA SESEORANG ITU MASUK ISLAM, ATAU KEMBALI BERAKAL, ATAU BALIGH TATKALA DIA TIDAK BERPUASA PADA SIANG HARI, DISUNATKAN KE ATASNYA MENAHAN DIRI (DARIPADA PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA) DAN DISUNATKAN MENGGANTIKAN PUASANYA, DAN TIDAK DIWAJIBKAN MENGGANTIKANNYA. DAN JIKA SESEORANG KANAK-KANAK ITU BALIGH DALAM KEADAAN DIA SEDANG BERPUASA, WAJIB KE ATASNYA MENERUSKAN PUASA TERSEBUT, DAN DISUNATKAN MENGGANTIKAN PUASA BAGI HARI TERSEBUT.
Yang dimaksudkan dengan seseorang yang masuk Islam ialah seseorang yang kafir kemudiannya dia memeluk Islam, dan bukannya seseorang yang murtad kemudian kembali kepada Islam.
Maka kesemua golongan yang disebutkan iaitu orang kafir yang baru memeluk Islam, orang yang baru sedar dari gilanya, kanak-kanak yang baru baligh pada siang hari di bulan Ramadhan dan mereka tidak berpuasa pada awal hari, disunatkan ke atas mereka ini menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa sebagai menghormati hari tersebut (iaitu dengan menyempurnakan baki hari tersebut dengan berpuasa) dan sebagai mengeluarkan diri daripada perkara khilaf yang mengatakan wajib berpuasa ke atas mereka. Dan disunatkan ke atas mereka untuk menggantikan puasa hari tersebut.
Bagaimanapun mereka tidak diwajibkan berpuasa dan menggantikan puasa pada hari tersebut kerana mereka asalnya tidak berpuasa sebelumnya disebabkan oleh keuzuran syarak (seperti belum Islam, belum baligh, dan tidak berakal) sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini. Dan kerana hukum puasa hanya diwajibkan kepada mereka pada waktu yang tidak sah untuk mereka berniat (iaitu sesudah masuknya waktu Subuh).*
*Sebagai contoh, Mamat seorang kanak-kanak yang belum baligh. Dan dia tidak berpuasa pada suatu hari di bulan Ramadhan. Tiba-tiba dia mendapati terdapat kesan air mani pada seluarnya setelah bangun dari tidur tengahari. Maka dia sekadar disunatkan selepas itu untuk menahan diri dari makan, minum, dan dari perkara lainnya yang membatalkan puasa. Dia juga disunatkan menggantikan puasa hari tersebut kemudiannya.
Manakala bagi kanak-kanak yang asalnya sedang berpuasa kemudian datangnya baligh (samada mimpi dsb) maka wajib ke atasnya meneruskan puasanya kerana dia telah menjadi seorang yang diwajibkan berpuasa tatkala dia melakukan puasa tersebut. Sepertimana seseorang yang pada mulanya sedang berpuasa sunat kemudian dia bernazar untuk menyempurnakan puasanya, maka wajib ke atasnya menyempurnakannya. Disunatkan juga (kepada kanak-kanak yang baligh tersebut) menggantikan puasanya kerana puasanya itu dikira sebagai puasa sunat kerana dia berniat puasa sedangkan pada waktu tersebut belum difardhukan ke atasnya lagi.
DISUNATKAN KE ATAS WANITA YANG TERHENTI HAIDNYA (PADA SIANG HARI DI BULAN RAMADHAN) BERPUASA, DAN WAJIB KE ATASNYA MENGGANTIKAN PUASA HARI TERSEBUT. BEGITU JUGA SEORANG MUSAFIR YANG PULANG KE TEMPATNYA, ATAU PESAKIT YANG SEMBUH DARI SAKITNYA, SEDANGKAN MEREKA TIDAK BERPUASA, MAKA DISUNATKAN MEREKA BERPUASA DAN DIWAJIBKAN MENGGANTIKAN PUASA HARI TERSEBUT. ATAU JIKA MEREKA PADA ASALNYA BERPUASA PADA HARI TERSEBUT, MAKA DIWAJIBKAN KE ATAS MEREKA MENYEMPURNAKAN PUASA TERSEBUT.
Disunatkan bagi wanita yang terhenti haidnya untuk menyempurnakan puasa hari tersebut sebagai menghormati waktu, dan tidak diwajibkan kerana terdapat keuzuran (halangan) untuk mereka berpuasa pada awal hari tersebut. Bagaimanapun diwajibkan bagi mereka menggantikannya. Sama juga hukumnya kepada wanita yang terhenti daripada nifas.
Hukum bagi seorang musafir yang pulang ke tempat asalnya, atau pesakit yang sembuh dari sakitnya, sedangkan mereka tidak berpuasa, sama hukumnya dengan wanita yang terhenti daripada haid dan nifas kerana terdapat keuzuran (rukhsah atau keringanan) untuk mereka berpuasa pada awal hari tersebut. Juga diwajibkan bagi mereka menggantikan puasa hari tersebut.
Bagi musafir yang sampai ke tempat asalnya dan pesakit yang sembuh dari sakitnya dan memang sedang berpuasa dari awal hari tersebut, wajib ke atas mereka meneruskan puasa tersebut. Ini kerana pada asalnya mereka memang diwajibkan berpuasa (kerana cukup syarat wajib puasa) tetapi diharuskan berbuka kerana adanya rukhsah. Tetapi mereka tidak mengambil rukhsah tersebut. Maka setelah sampai ke tempat asal atau baik dari sakit, kedua-duanya telah hilang rukhsah yang diberikan. Terdapat kaedah fiqh yang menyatakan “Apa yang diharuskan semasa uzur adalah terbatal dengan hilangnya keuzuran tersebut.” Oleh itu, wajib mereka menyempurnakan puasa tersebut dan tidak perlu menggantikannya kerana puasa tersebut sah.
KALAU JELAS PADA HARI SYAK ITU ADALAH BULAN RAMADHAN, WAJIB KE ATASNYA MENYEMPURNAKAN PUASA BAGI BAKI HARI TERSEBUT DAN WAJIB DIGANTIKAN SEMULA.
Iaitu jika jelas pada siang hari syak iaitu 30 Syaaban bahawa hari tersebut sebenarnya bulan Ramadhan berdasarkan petunjuk anak bulan, samada masyarakat bercakap tentang adanya anak bulan tersebut atau tidak pada malam sebelumnya.
Maka wajib ke atasnya berpuasa kerana sudah jelas bahawa hari tersebut sudah termasuk dalam bulan Ramadhan dan wajib ke atasnya menggantikan puasa hari tersebut. Tetapi dia tidak berdosa jika sudah terlajak makan dsb pada mulanya kerana adanya keuzuran syarak iaitu jahil tentang sudah masuknya bulan Ramadhan.
HENDAKLAH DIPERINTAHKAN KANAK-KANAK YANG BERUMUR TUJUH TAHUN SUPAYA BERPUASA DAN DIPUKUL PADA UMUR SEPULUH TAHUN JIKA ENGGAN BERPUASA.
Perkara ini diqiyaskan daripada hukum solat (iaitu diperintahkan melakukan samada solat atau puasa apabila berumur tujuh tahun, dan dipukul apabila sudah berumur sepuluh tahun tetapi enggan). Ini kerana kedua-dua ibadah termasuk di dalam kategori ibadah badaniyyah. Maka hendaklah diperintahkan kanak-kanak tersebut berpuasa semenjak berumur tujuh tahun supaya dia akan terbiasa dengannya, dan wajib ke atas penjaga memukul* kanak-kanak tersebut dengan tujuan untuk mendidik dan memberi pengajaran jika dia telah berumur sepuluh tahun tetapi masih enggan berpuasa sedangkan dia mampu.
*Pukul adalah merupakan cara terakhir apabila kanak-kanak tersebut berumur sepuluh tahun dan masih enggan berpuasa. Sebelum itu, hendaklah diperintahkan mereka untuk berpuasa semenjak berumur tujuh tahun, disamping sentiasa mengingatkan dan mendorong mereka dengan cara yang pelbagai dan berhikmah supaya mereka dapat berpuasa sebaik-baiknya. Antaranya mungkin dengan memberikan sedikit ganjaran jika sempurna puasa sebulan di bulan Ramadhan dan sebagainya. Jika masih berdegil, maka hendaklah sentiasa pula diberi amaran kepada kanak-kanak tersebut. Maka setelah berumur sepuluh tahun dan masih berdegil barulah boleh dipukul. Dan ditegaskan sekali lagi bahawa pukul merupakan cara terakhir, dan pukulan tersebut adalah untuk mendidik bukannya atas tujuan melepaskan marah. Terdapat kaedah-kaedah pukulan di dalam Islam bagi tujuan mendidik, antaranya pukulan tidak boleh dikenakan pada bahagian kepada, kemaluan dan sebagainya.
Daripada Abdullah Bin ‘Amru Bin al-‘As ra telah berkata, sabda Rasulullah SAW, “Perintahkanlah anak-anak kamu supaya menunaikan solat apabila mereka berumur tujuh tahun, dan pukullah mereka apabila mereka berumur sepuluh tahun, dan pisahkanlah tempat tidur di antara mereka.” (Abu Daud, Kitab Solat, No. 495).
DIHARUSKAN BERBUKA BAGI SESIAPA YANG JIKA DIA BERPUASA AKAN DITAKUTI MEMBAWA KEBINASAAN PADA DIRI SENDIRI ATAU MENYEBABKAN KESAKITAN. DAN DIHARUSKAN BERBUKA JIKA TIBA-TIBA DATANG SAKIT ATAU KEBINASAAN PADA SIANG HARI PUASA YANG MENYEBABKAN KEPAYAHAN UNTUK MENERUSKAN PUASA.
Iaitu diharuskan untuk berbuka pada ketika datangnya sakit atau kebinasaan tersebut. Dan tidak diharuskan (tidak dibenarkan) untuk berbuka sejak awal hari kerana sakit atau kebinasaan tersebut hanya kemungkinan sahaja.
DIHARUSKAN BERBUKA BAGI ORANG YANG DALAM PERJALANAN QASAR* YANG BERTOLAK SEBELUM FAJAR (SUBUH), DAN TELAH DISERTAI DENGAN NIAT PADA MALAMNYA. MAKA JIKA BERTOLAK SELEPAS FAJAR MAKA TIDAK DIHARUSKAN BERBUKA. BERBUKA BAGI ORANG YANG MUSAFIR ADALAH LEBIH AFDAL (UTAMA) JIKA PUASA AKAN MEMUDARATKANNYA, DAN JIKA TIDAK MAKA PUASA ADALAH LEBIH AFDAL BAGINYA.
*yang melebihi 2 marhalah atau lebih kurang 90 km
Iaitu seseorang yang telah niat untuk berpuasa pada malam harinya, kemudian dia bertolak untuk bermusafir sebelum Fajar maka diharuskan baginya untuk berbuka. Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 185 :
          
“Dan sesiapa yang sakit atau sedang bermusafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.”
Daripada Ibnu Abbas ra, bahawa Rasulullah SAW telah keluar ke Makkah pada bulan Ramadhan sedangkan baginda berpuasa. Apabila sampai di al-Kudaid, baginda SAW berbuka maka yang lainnya turut berbuka. (Bukhari, Kitab Puasa, No. 1842. Muslim, Kitab Puasa, No. 1113)
Al-kudaid adalah nama bagi suatu tempat yang terdapat air di situ yang berdekatan dengan Mekah.
Bagaimanapun, bagi mereka yang bertolak selepas Fajar, maka tidak diharuskan berbuka (iaitu diwajibkan berpuasa). Kerana mereka telah berada dalam keadaan yang mewajibkan mereka untuk berpuasa sebelum wujudnya rukhsah untuk mereka.*
*Telah cukup syarat wajib puasa iaitu telah terbit fajar dan sempurna ahliyyah (Islam, baligh, akal, dan suci daripada haid dan nifas) sedangkan mereka belum keluar untuk musafir yang mengharuskan untuk mereka berbuka. Terdapat beberapa pandangan di dalam masalah ini.
Adapun dalil yang menyatakan bahawa adalah lebih afdal berbuka bagi orang yang musafir yang jika dia berpuasa akan membawa kemudaratan ialah hadis daripada Jabir Bin Abdillah ra telah berkata, bahawa sedang Rasulullah SAW dalam perjalanan, baginda ternampak suatu kaum yang bersesak-sesak dan seorang lelaki sedang menumpang teduh di situ. Sabda Rasulullah SAW, “Apa ini?” Jawab lelaki tersebut, “Aku berpuasa.” Maka sabda baginda SAW, “ Bukanlah menjadi suatu kebaikan untuk berpuasa dalam keadaan bermusafir.” (Bukhari, Kitab Puasa, No. 1844. Muslim, Kitab Puasa, No. 1115).
Kaum yang bersesak-sesak iaitu mereka bersempit-sempit dalam suatu kawasan.
Seorang lelaki iaitu dikatakan dia ialah Abu Israil al-‘Amiri.
Suatu kebaikan bermaksud ketaatan, ibadah, ihsan, dan kebajikan.
Berpuasa dalam keadaan bermusafir iaitu apabila sampai suatu tahap yang sangat menyusahkan dan menyebabkan mudarat untuknya terus berpuasa.
Adapun jika berpuasa itu tidak memudaratkan bagi orang yang sedang bermusafir, maka adalah lebih afdal untuknya berpuasa. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 184 :
        
“Dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.”
Dan berdasarkan hadis daripada Abdullah Bin Abi Aufa ra berkata, tatkala kami bermusafir bersama Rasulullah SAW, maka sabda Rasulullah SAW kepada seorang lelaki, “Turunlah (yakni dari kenderaan) dan sediakan air untukku.” Lelaki itu berkata, “Wahai Rasulullah (SAW), matahari? (bermakna hari masih siang) Sabda Rasulullah SAW, “Turunlah dan sediakan air untukku.” Kata lelaki itu, “Wahai Rasulullah (SAW), matahari? Sabda Rasulullah SAW, “Turunlah dan sediakan air untukku.” Maka lelaki itu pun turun lalu menyediakan minuman, dan Rasulullah SAW meminumnya. Kemudian Rasulullah SAW menunjukkan dengan tangannya di situ, kemudian bersabda, “Apabila malam telah sampai di situ maka telah berbukalah orang yang berpuasa.”*
*Rasulullah ingin mengisyaratkan bahawa diharuskan berbuka untuk orang yang bermusafir, manakala bagi orang yang bermukim hanya berbuka apabila terbenamnya matahari.
Dan daripada ‘Aisyah ra isteri Nabi SAW, sesungguhnya Hamzah Bin ‘Amru al-Aslami telah berkata kepada Nabi SAW, “Adakah aku boleh berpuasa ketika dalam keadaan bermusafir?” Dan dia merupakan seorang yang sentiasa berpuasa, jawab Nabi SAW, “Jika kamu mahu berpuasa, puasalah, dan jika kamu mahu berbuka, berbukalah.”*
*Hamzah Bin ‘Amru ra merupakan seorang sahabat yang rajin berpuasa. Jadi dia ingin mengetahui samada adakah boleh untuk dia meneruskan puasanya dalam keadaan musafir. Hadis ini menunjukkan bahawa harus bagi orang musafir untuk berpuasa jika tidak memberatkannya dan juga diharuskan berbuka. Wallahua’lam.
Dan daripada Anas Bin Malik ra berkata, tatkala kami bermusafir bersama Rasulullah, maka orang yang berpuasa tidak mencela (menyalahkan) orang yang berbuka, dan orang yang berbuka tidak mencela orang yang berpuasa. (Bukhari, Kitab Puasa, No. 1839, 1841, 1845. Muslim, Kitab Puasa, No. 1101, 1121, 1118)
DAN DIHARUSKAN BERBUKA BAGI WANITA YANG SEDANG MENYUSU ATAU WANITA YANG SEDANG HAMIL SAMADA BIMBANG AKAN KESIHATAN DIRI ATAU ANAKNYA DAN MEREKA WAJIB MENGGANTIKAN PUASA TERSEBUT. TETAPI DIWAJIBKAN JUGA MEMBAYAR FIDYAH DISEBABKAN BIMBANG AKAN KESIHATAN ANAKNYA IAITU BAGI SETIAP HARI SECUPAK.
Dalil diharuskan berbuka bagi wanita yang menyusukan anak atau wanita yang sedang hamil adalah antaranya hadis yang diriwayatkan Anas Bin Malik, daripada Bani Ka’ab ra, bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah Tabaraka Wata’ala telah meletakkan bagi orang yang bermusafir puasa dan separuh solat, dan bagi wanita hamil dan wanita yang menyusu puasa.” (Diriwayatkan Ahmad dalam Musnadnya, 5/29. Abu Daud, Kitab Puasa, No. 2408. Tirmizi, Kitab Puasa, No. 715, berkata Imam Tirmizi sebagai hadis hasan. Nasai, Kitab Puasa, No. 2275 dan 2278. Ibnu Majah, Kitab Puasa, 1667)
Meletakkan bagi bermaksud Allah telah memberi kemudahan bagi orang musafir untuk mengqasarkan solatnya dan berbuka puasa dengan digantikan pada hari yang lain (dan untuk wanita hamil dan menyusukan anak berbuka puasa juga dengan digantikan pada hari yang lain).
Separuh solat iaitu dikurangkan daripada empat rakaat kepada dua rakaat.
Adapun yang berbuka puasa disebabkan bimbang akan kesihatan anaknya sahaja atau bimbang akan kesihatan anaknya dan dirinya sekali maka diwajibkan menggantikan puasa beserta membayar fidyah iaitu secupak makanan. Dan secupak bersamaan lebih kurang 600 gram.*
*Sila lihat penjelasan ringkas sebelum ini berkenaan fidyah.
Dalil wajib memberi makan sebagai fidyah bagi wanita hamil atau yang menyusukan anak yang mereka ini berbuka kerana bimbang akan kesihatan anaknya adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Daud (di dalam kitab Puasa, No. 2317, 2318) Bahawa Ibnu Abbas ra telah menafsirkan firman Allah SWT :
      
“Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.”
[Surah al-Baqarah ayat 184]
Kata Ibnu Abbas, “Aku menetapkan (bahawa ayat ini terpakai) buat wanita yang hamil dan yang sedang menyusukan anak.” Dalam riwayat lain iaitu untuk wanita yang hamil dan yang sedang mengandung yang bimbang akan kesihatan dirinya atau anaknya, maka diharuskan berbuka dan membayar fidyah.*
*Konklusinya, wanita hamil atau menyusu hanya perlu bayar fidyah jika bimbangkan keselamatan anak yang dikandungkan atau disusukannya.
Wallahualam.

Mohon keampunan dan kemaafan jika ada kesilapan di mana-mana bahagian atau ayat yang berbelit-belit. Moga beroleh manfaat daripada tulisan ini.
Diterjemah oleh:
Muhammad Aiman Bin Nasir
Hayyu Solahiah, Dimasyq, Syria

0 comments:

Post a Comment